Pasaran Asia lemah

BANGKOK, 13 Mei – Saham merosot di Asia hari ini selepas rundingan perniagaan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China berakhir tanpa sebarang perjanjian dan Beijing mengugut akan bertindak balas berhubung kenaikan tarif terbaharu yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.

Indeks Komposit Shanghai merosot 1.2 peratus kepada 2,903.71. Indeks Nikkei Jepun menurun 0.7 peratus kepada 21,191.28 dan S&P ASX Australia merosot 0.3 peratus kepada 6,297.60. Kospi Korea Selatan menyusut 1.4 peratus kepada 2,079.01. Pasaran Hong Kong ditutup untuk cuti. Saham merosot di Taiwan dan kebanyakan pasaran Asia Tenggara.

Saham AS dijangka menanggung kerugian, dengan kontrak niaga depan untuk Dow Jones Industri dan S&P 500 merosot 1.2 peratus.

Ketua duta China ke rundingan perniagaan minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Liu He, berkata sebelum meninggal Washington pada Jumaat bahawa Beijing tidak akan bertolak ansur mengenai isu prinsip dan tarif ke atas eksport China ke AS harus dibatalkan sebagai satu syarat untuk mencapai satu perjanjian.

Namun Lui tidak mengheboh tahap ketegangan, berkata China boleh bertahan dengan cabaran yang ditimbulkan oleh perbalahan perniagaan. China berkata ia akan bertindak balas selepas AS menaikkan tarif ke atas AS$200 bilion eksportnya pada Jumaat kepada 25 peratus daripada 10 peratus, namun tidak berkata caranya.

Presiden Donald Trump berkata di Twitter pada hujung minggu bahawa “kami adalah betul dalam pengendalian kami dengan China.” Beliau menuduh China sedang ‘menghancurkan’ Amerika.

Pentadbiran Trump berkata ia bersedia untuk menambah lagi tarif 25 peratus ke atas barangan China bernilai AS$300 bilion, atau boleh dikatakan kesemua import dari China.

Perang tarif telah menjejas pengeluar China dan merupakan satu bebanan tambahan ke atas pertumbuhan untuk rantau.

“Kekurangan ketetapan dalam rundingan perniagaan AS-China di samping tweet berunsur provokatif oleh Presiden Trump tidak meredakan sentimen risiko tatkala kami melihat bermulanya satu lagi minggu yang lemah untuk pasaran Asia,” kata Jingyi Pan daripada IG dalam satu komen. – AP

Pelabur China mengawasi harga saham di sebuah firma pembrokeran di Beijing kelmarin. Saham adalah rendah di Asia kelmarin selepas rundingan perniagaan di antara AS dan China berakhir pada Jumaat tanpa sebarang perjanjian. – AP