Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasaran Asia merosot, harga minyak meningkat

    HONG KONG, 19 SEPT – Saham Asia merosot hari ini berikutan prestasi yang hambar di Wall Street, apabila pelabur dengan gelisah menantikan keputusan dasar Rizab Persekutuan (Fed) pada hujung minggu ini, sementara kebimbangan inflasi bertambah buruk dengan harga minyak mencecah AS$100.

    Mesyuarat itu diadakan semasa minggu penting bagi pasaran, dengan Bank England dijangka mengumumkan kenaikan kadar faedah yang mungkin menjadi kenaikan terakhir sementara Bank Jepun akan terus memantau mengenai petunjuk perubahan daripada dasar mata wang longgar yang dilaksanakan sebelum ini.

    Sementara Fed dilihat akan mengekalkan kos pinjaman esok, perbincangan masih membabitkan rancangan untuk bulan-bulan mendatang, dengan beberapa penggubal dasar berpendapat lebih banyak kenaikan diperlukan untuk mengawal inflasi manakala yang lain ingin berhenti pada tahap sekarang.

    Walau bagaimanapun, sementara dasar ketat lebih daripada setahun dijangka akan berakhir, timbul kebimbangan yang semakin meningkat bahawa kadar akan kekal pada tahap tinggi dua dekad untuk tempoh lebih lama daripada yang dijangkakan pada mulanya.

    Proses membuat keputusan juga menjadi rumit dengan kenaikan mendadak harga minyak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Brent melepasi AS$95 satu tong hari ini dan bakal mencecah AS$100 disebabkan oleh pemotongan pengeluaran yang berterusan oleh Arab Saudi dan Rusia serta tanda-tanda yang menunjukkan ekonomi China semakin stabil.

    Dengan tenaga menjadi pendorong utama kenaikan harga, terdapat kebimbangan bahawa inflasi akan kekal tinggi dan jauh melebihi sasaran bank sebanyak dua peratus. – AFP

    Kenaikan harga minyak juga mendadak beberapa minggu kebelakangan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda