HONG KONG, 28 OGOS – Pasaran Asia tidak menentu hari ini, dibelenggu oleh ketidakpastian mengenai rundingan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS), dengan amaran bahawa sikap Donald Trump yang sukar diramal boleh menjejaskan persetujuan yang dinanti-nantikan.
Perdagangan berubah-ubah minggu ini selepas kemarahan presiden AS itu ke atas Beijing dan pengumuman lebih banyak tarif ke atas barangan bernilai AS$550 bilion hujung minggu lalu, diikuti dengan perkembangan bahawa dia berkata kedua belah pihak sudah bercakap melalui telefon dan rundingan akan diteruskan tidak lama lagi.
Bagaimanapun China belum mengesahkan adanya panggilan itu dibuat, sementara media di negara itu tidak menaruh harapan bagi lebih banyak rundingan.
Ia merupakan perkembangan terbaharu dalam siri tindakan oleh Rumah Putih, namun para penganalisis berkata para peniaga semakin gelisah dengan strategi itu.
Stephen Innes dari Valour Markets berkata, “Masih terdapat rasa skeptikal yang tinggi mengenai keikhlasan dalam komen Trump atau mengenai kemungkinan China mahu meneruskan rundingan.”
Dia menyatakan satu kenyataan panas pada Jumaat lepas, yang mana Trump melabel bos Rizab Persekutuan, Jerome Powell dan Presiden China, Xi Jinping sebagai musuh AS telah bergema dalam kalangan peniaga. – AFP
