Monday, February 24, 2025
21.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasaran bunga terbesar asia saksikan perniagaan berkembang dalam 2024

    KUNMING, 23 FEB – Pasar Bunga Dounan, pasar perniagaan bunga keratan segar terbesar di Asia yang terletak di Bandar Kunming, barat daya Cina, mencatatkan peningkatan lima peratus dalam jumlah dagangan bunga kepada 14.18 bilion tangkai tahun lepas, lapor Xinhua.

    Dengan nilai transaksi sebanyak 11.57 bilion yuan (AS$1.61 bilion) pada 2024, pasaran itu telah mendahului dalam jumlah serta nilai dagangan bunga negara selama 25 tahun berturut-turut.

    Terletak di Daerah Chenggong, Wilayah Yunnan, Pasar Bunga Dounan juga merupakan hab perdagangan bunga keratan segar kedua terbesar di dunia. Pasaran yang sibuk ini menjadi pembekal utama, dengan bunga dari Dounan dihantar ke semua wilayah peringkat provinsi di tanah besar Cina, serta lebih 50 negara dan rantau di seluruh dunia, termasuk Jepun dan Thailand.

    Penanaman bunga di Dounan bermula sejak 1983. Pada tahun 1990-an, penduduk tempatan mula menjalankan penanaman dan perdagangan bunga secara komersial. Pada 1999, pasaran perdagangan bunga profesional pertama di Cina telah ditubuhkan di Dounan.

    Sejak itu, Pasar Bunga Dounan telah mengembangkan rantaian industri bunganya, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan bunga utama. Kini, tujuh daripada 10 bunga keratan segar di Cina berasal dari Dounan.

    Industri bunga yang berkembang pesat di Dounan menyerlahkan kedudukan Cina sebagai pemain utama dalam pasaran bunga global.

    Dengan kira-kira 1.5 juta hektar kawasan diperuntukkan untuk penanaman bunga dan lebih lima juta orang terlibat dalam industri ini, Cina kini menjadi pengeluar bunga terbesar di dunia serta pedagang dan pengguna penting dalam sektor berkenaan.

    Satu garis panduan yang dikeluarkan bersama oleh Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara Cina serta Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar, menyasarkan nilai jualan tahunan industri bunga negara itu mencecah 300 bilion yuan menjelang 2025 dan lebih 700 bilion yuan pada 2035. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda