Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasaran buruh Singapura bertumbuh kukuh pada Q3

    SINGAPURA, 9 DIS – Pasaran buruh Singapura menunjukkan pertumbuhan kukuh pada suku ketiga 2024, dengan jumlah pekerjaan dicatat meningkat hampir dua kali berbanding pada suku sebelumnya, menurut Laporan Pasaran Buruh terbaharu oleh Kementerian Tenaga Manusia yang diterbitkan hari ini.

    Menjelang September, jumlah pekerjaan, tidak termasuk pembantu rumah asing mencecah 3,736,900, mencerminkan peningkatan sebanyak 22,300 pada suku ketiga.

    Pekerjaan penduduk tetap dan bukan penduduk tetap menyaksikan pertumbuhan berkenaan. Kementerian itu menyatakan bahawa pekerjaan penduduk tetap berkembang dalam sektor berorientasikan luar seperti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan kewangan, apabila pekerja beralih daripada industri tertumpu domestik seperti perkhidmatan runcit dan makanan.

    Sementara pertumbuhan pekerjaan bukan penduduk tetap pula didorong terutamanya oleh pengambilan pemegang permit kerja dalam sektor pembinaan dan pembuatan.

    Di samping itu, kadar pengangguran menunjukkan sedikit penurunan. Kadar pengangguran keseluruhan pada bulan September ialah 1.9 peratus, dengan kadar pengangguran penduduk dan warganegara masing-masing pada 2.6 peratus dan 2.7 peratus.

    Kekosongan jawatan turun kepada 63,400 pada bulan September berbanding 81,200 pada bulan Jun, sebahagian besarnya disebabkan oleh kurang pembukaan dalam peranan berkemahiran rendah dalam sektor seperti pembinaan, pengangkutan, penyimpanan dan pembuatan, yang sebahagian besarnya telah diisi oleh pemegang pas kerja.

    Walaupun dengan penurunan itu, kekosongan jawatan terus melebihi jumlah penganggur dengan 1.39 pekerjaan tersedia bagi setiap pencari kerja.

    “Perayaan akhir tahun akan datang dijangka menambah permintaan buruh,” kata kementerian itu.

    Data pekerjaan dalam laporan itu tidak termasuk pekerja domestik asing yang mana jumlahnya dikeluarkan secara berasingan dalam kemas kini laporan tenaga kerja asing kementerian berkenaan. Sehingga Jun, terdapat lebih 294,900 pembantu rumah asing di Singapura, membentuk 19 peratus daripada jumlah tenaga kerja asing. – Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda