Pasaran halal Jepun potensi besar Malaysia

KOBE, JEPUN, 5 DIS – Di sebalik kemajuan teknologinya, Jepun terus menjadi tarikan yang besar kepada pelancong asing berikutan negara itu menawarkan perjalanan untuk meneroka alam semula jadi dan sumber budayanya.

Malah, terdapat beberapa bandar raya yang penuh dengan keindahan semula jadi, dengan Gunung Fuji – mercu tanda paling ikonik negara itu – yang pasti menjadi pemandangan yang indah untuk dilihat.

Negara Matahari Terbit itu bersedia untuk menerima 40 juta pelancong asing untuk Sukan Olimpik Tokyo dan Paralimpik pada tahun depan.

Kemasukan ramai pelancong Islam pada Sukan Olimpik dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020 dijangka menggalakkan pertumbuhan makanan dan produk yang mematuhi syariah dan halal, berpotensi menjadi pasaran yang besar kepada pengeluar produk halal Malaysia.

Keperluan ini telah dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dalam misi perdagangan dan pelaburan ke Kobe yang bermula pada 29 November dan berakhir hari ini.

Dalam ucaptama beliau pada Seminar mengenai Peluang Perniagaan di Malaysia, yang dianjurkan sempena misi itu, Darell berkata industri halal antara sektor paling penting bagi Malaysia untuk diteroka bersama Jepun. – Bernama