FRANKFURT, 4 JULAI – Jualan kenderaan elektrik di Jerman telah mencatatkan pemulihan pada separuh pertama tahun ini, selepas menghadapi tahun 2024 yang mencabar, walaupun pasaran automotif secara keseluruhan menunjukkan kelembapan, menurut data rasmi yang dikeluarkan kelmarin.
Selepas bertahun-tahun mengalami pertumbuhan dalam pasaran automotif terbesar di Eropah, jualan kereta elektrik merosot tahun lalu berikutan penamatan subsidi kerajaan dan kelembapan ekonomi Jerman.
Namun, jualan kereta elektrik secara dasarnya telah meningkat sekitar 35 peratus dalam enam bulan pertama 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024, menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Persekutuan Jerman (KBA).
Pada bulan Jun sahaja, sebanyak 47,163 buah EV atau kenderaan elektrik telah didaftarkan, peningkatan sebanyak 8.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, menjadikan bahagian pasaran EV mencecah 18.4 peratus, menurut laporan itu.
“Jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya yang amat lembap, kita melihat kadar pertumbuhan yang kukuh,” kata penganalisis EY, Constantin Gall.
Namun, beliau turut menyatakan jualan kereta elektrik masih belum mencapai paras yang dicatatkan pada tahun 2023 sebelum sokongan kerajaan ditarik balik.
Pengeluar kenderaan elektrik dari China juga mula menembusi pasaran Jerman, dengan syarikat seperti BYD, Xpeng dan Leapmotor mencatatkan peningkatan ketara dalam jualan pada bulan Jun, walaupun Kesatuan Eropah telah mengenakan tarif ke atas import EV dari China. – AFP


