TEHRAN – Bentuk geometri menarik yang mengimbau seni abstrak abad ke-20 bukanlah perkara yang awda jangkakan untuk dilihat pada permaidani buatan tangan Iran.
Tetapi perubahan cita rasa dan peningkatan persaingan dari Asia telah memaksa beberapa orang dalam perdagangan untuk mereka bentuk semula dan mengubah saiz tradisi sejak lebih 2,000 tahun lalu.
“Satu revolusi sedang berlaku,” kata Ahad Azimzadeh, 65, yang menggelar dirinya sebagai ‘pengeksport permaidani Parsi terbesar di dunia’.
Permaidani yang ditenun secara tradisional di republik Islam terkenal dengan reka bentuk bunga yang padat dan melengkung dalam warna yang kaya. Kecantikan dan kualiti permaidani telah lama diiktiraf di seluruh dunia, namun jualan telah merosot sejak 30 tahun yang lalu.
“Pada 1994 nilai permaidani Iran yang dijual di luar negara mencecah AS$1.7 bilion dan merangkumi 40 peratus daripada eksport bukan petroleum kami,” kata Ahmad Karimi, ketua Kesatuan Pengilang dan Pengeksport permaidani buatan tangan kepada AFP.
Menjelang 2019-20 angka itu semakin menyusut kepada AS$70 juta, katanya. Dengan ukuran lain, pada tahun 2000 Iran mewakili 32 peratus daripada eksport permaidani buatan tangan global.
Ini jatuh kepada 7.9 peratus menjelang 2019 apabila eksport dari China dan India meningkat, kata Karimi.
‘Generasi baharu’
Terdapat ‘kesan’ daripada sekatan antarabangsa yang menyasarkan Iran berhubung program nuklearnya, hak asasi manusia dan isu-isu lain, tetapi beliau berkata faktor lain lebih patut dipersalahkan.
“Terutama dengan kepelbagaian pasaran permaidani yang luas dan perubahan dalam mentaliti serta cita rasa generasi baharu,” kata Karimi.
Azimzadeh, pengeksport permaidani, berkata, “Masa depan adalah dengan permaidani buatan tangan moden.”
Beliau bercakap pada pameran permaidani buatan tangan minggu lalu di Tehran.
Acara tahunan itu, yang digantung selama dua tahun kerana pandemik koronavirus, menampilkan kira-kira 400 peserta pameran dari seluruh Iran.
“Corak permaidani Iran adalah kuno tetapi hari ini terdapat permintaan yang hebat untuk gaya kontemporari.
“Ia lebih sesuai untuk rumah moden,” kata Azimzadeh, seorang peniaga yang menjadi penenun sejak berusia tujuh tahun. Ketika berusia 14 ta-hun, dia telah menamatkan pengajian di bahagian komersial perdagangan.
Antara gaya baharu yang dipamerkan di pameran yang berakhir Ahad lalu adalah permaidani yang memaparkan petak kecil diagonal hypnotic berwarna biru dan bergaris putih.
Satu lagi menggambarkan berlian dan corak geometri lain dalam sutera emas pada latar belakang hitam.
Satu permaidani bulu kelihatan seolah-olah dakwat telah meninggalkan percikan emas di atasnya.
“Warnanya jelas dan saiznya lebih kecil,” itulah yang diminta oleh cita rasa moden, kata Azimzadeh.
Sebagai contoh yang ekstrem tetapi kurang tipikal ‘revolusi’ ini, Azimzadeh berdiri di hadapan permaidani tenunan bersaiz tiga meter persegi. Ia menggambarkan personaliti global termasuk pelakon Charlie Chaplin, ahli fizik Albert Einstein dan diktator Soviet Joseph Stalin.
Dari seni kepada alas kaki
Gaya baharu juga lebih murah. Ada yang menjual pada harga AS$3,000 atau AS$4,000, manakala Azimzadeh mempunyai permaidani tradisional seluas 2,000 meter persegi dari Tabriz berharga AS$120 juta.
Inventorinya juga menyimpan sebuah permaidani berusia 170 tahun dari Kashan yang tersedia dengan harga kira-kira AS$160,000.
Buat masa ini, reka bentuk moden masih minoriti di petak jualannya di pameran itu, tetapi stok tradisional akan ditarik balik secara beransur-ansur, katanya.
“Tahun depan, 70 peratus permaidani yang dipamerkan adalah moden,” Azimzadeh meramalkan Karimi, dari kesatuan pengeksport, kesal kerana permaidani Iran pada masa kini dilihat sebagai barangan pengguna untuk diletakkan di hadapan pintu, sedangkan pada masa lalu ia adalah pelaburan.
“Ia kehilangan statusnya sebagai objek seni.”
Seorang lagi peniaga, Abbas Arsin, mungkin mendahului zamannya apabila dia mencipta apa yang dipanggilnya ‘permaidani peralihan’ 25 tahun lalu.
Dia mengambil corak tradisional dan membuat warna terang pudar dengan menggosoknya dan meninggalkannya di bawah sinar matahari.
“Ayah dan abang saya tidak faham mengapa saya bersusah payah membuat permaidani lama pudar,” kata Arsin, 40, generasi ketiga keluarganya dalam perniagaan itu.
Tetapi apabila dia mempamerkan karya pertamanya dan ramai pelanggan yang datang, keluarganya menggalakkannya untuk ‘hanya melakukan itu’, dia mengimbas kembali sambil tersenyum.
Arsin berkata India, Pakistan, Turki dan China mengatasi Iran dalam pasaran global kerana rakyat Iran mempunyai hubungan yang lebih sedikit dengan seluruh dunia. Mereka tidak melihat perubahan yang berlaku. Malah sekarang, tidak semua orang yakin.
“Setahun lalu kami mula membuat permaidani dalam reka bentuk moden tetapi ia mencatatkan hanya lima peratus daripada pengeluaran kami dan saya tidak fikir kami akan melampaui itu,” kata Mehdi Jamshidi, 42, pengarah jualan untuk syarikat Iran Carpet.
“Permaidani moden tidak akan menggantikan yang tradisional, yang berakar umbi dalam budaya dan wilayah kita.”
Hamid Sayahfar, 54, seorang peniaga yang menghabiskan masanya di antara Tehran dan Toronto, berkata gaya geometri baharu itu mungkin sesuai untuk pejabat, tetapi tidak di rumah.
Ia hanya fesyen, katanya, “Dan seperti setiap fesyen ia akan hilang.” – AFP