LAUSANNE, 31 MAC – Wabak COVID-19 yang menyebabkan bola sepak digantung telah memberi impak besar kepada nilai pasaran perpindahan pemain di liga utama di Eropah, menurut satu kajian.
Jumlah nilai pasaran pemain di liga ‘Big Five’ di Eropah seperti di England, Sepanyol, Jerman, Itali dan Perancis akan mengalami penurunan sebanyak 28 peratus, dari 32.7 bilion euro (AS$36.2 bilion) kepada 23.4 bilion euro jika tidak ada lagi perlawanan dimainkan musim ini dan kontrak yang akan tamat pada bulan Jun tidak diperbaharui.
Kajian ini adalah hasil penyelidikan oleh Football Observatory di Pusat Antarabangsa Pengajian Sukan Switzerland.
“Pengurangan ini berbeza-beza mengikut beberapa faktor seperti umur pemain, tempoh kontrak, laluan kerjaya dan prestasi terkini,” kata kajian itu.
Pemain-pemain yang lebih tua dalam kontrak yang agak pendek yang telah bermain lebih sedikit permainan musim ini akan terkesan.
Contoh bintang Perancis dan Manchester United, Paul Pogba, 27 tahun, yang keluar kontrak tahun depan dan nilai pasarannya akan dipotong hampir separuh hingga 35 juta euro.
Kajian itu juga menganggarkan bahawa Manchester City akan melihat sejumlah 412 juta euro penurunan nilai pasaran pemain mereka, lebih daripada mana-mana kelab lain. – AFP