Monday, February 10, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasaran telefon pintar teruskan momentum – IDC

    SAN FRANCISCO, 3 Nov – Pasaran global telefon pintar mempunyai momentum sehingga musim membeli-belah cuti akhir tahun, menurut angka awal yang dikeluarkan semalam oleh Korporasi Data Antarabangsa (IDC).

    Kira-kira 373.1 juta telefon pintar dihantar ke seluruh dunia pada suku ketiga tahun ini dalam pertambahan sebanyak 2.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016, kata IDC dalam satu kenyataan.

    Sementara penganalisis IDC menganggap pertumbuhan rendah, mereka melihatnya sebagai satu petanda “industri masih mempunyai momentum.” Kelima-lima pengeluar telefon pintar semuanya menghantar lebih banyak unit berbanding suku yang sama tahun lalu, menurut IDC.

    Syarikat gergasi telefon pintar Korea Selatan Samsung masih pemimpin pada keseluruhannya, menghantar 83.3 juta handset dalam pertambahan 9.5 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu, menurut IDC.

    Model baru Apple iPhone 8 membantu penghantaran suku ketiganya meningkat 2.6 peratus kepada 46.7 juta, dan pada hari ini syarikat gergasi teknologi California itu melancarkan model iPhone X baru dengan harga permulaan $999.

    Huawei yang berpangkalan di China menghantar 39.1 juta telefon pintar dalam peningkatan ‘sihat’ sebanyak 16.1 peratus berbanding setahun sebelumnya, menurut IDC.

    Model Huawei baru ‘akan mencabar Apple dan Samsung di pasaran berhubung produk premium serta dalam perlumbaan untuk penguasaan pasaran di dunia pada keseluruhannya,’ kata IDC.

    OPPO di China menduduki tempat keempat dengan hantaran meningkat 19 peratus kepada 30.7 juta berbanding dengan suku yang sama tahun lalu, lapor IDC.

    Xiaomi di China berada di tangga kelima namun mencatat pemerolehan paling kukuh, menambah dua kali ganda jualannya kepada 27.6 juta unit, kebanyakannya didorong oleh kejayaan di India, menurut laporan.

    IDC meramalkan pertumbuhan jualan telefon pintar pada suku sekarang berjumlah kurang satu peratus, sebahagiannya disebabkan bekalan terhad iPhone X dan harga tinggi model utama mendorong orang menangguhkan pembelian sehingga handset lebih murah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda