KUALA LUMPUR, 27 April – MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) menjangka, pegangan pasaran trak buatan Eropah di Malaysia berkembang pesat sehingga 50 peratus dalam masa 10 tahun akan datang, berbanding antara 25 hingga 30 peratus pada masa ini.
Pengarah Urusan MAN Malaysia, Hartmut Mueller, berkata strategi kecekapan kos dalam kalangan pembeli akan menjadi pendorong pertumbuhan ini, memandangkan perkembangan sistem pengangkutan di Malaysia, dengan keseluruhan rantaian bekalan menggunakan e-dagang, ia akan menggalakkan pembelian lebih banyak produk Eropah.
“Saya percaya, pasaran akan berkembang dengan cepat kerana lebih banyak pihak melihat kepada pengurusan pengangkutan yang baik, yang mana mereka tidak lagi berbicara mengenai harga sebaliknya penyelesaian.
“Dengan lebih banyak pelanggan memikirkan soal kos, adalah lebih baik untuk membeli trak yang lebih mahal (untuk tujuan pelaburan) tetapi menyediakan kecekapan kos dari segi operasi, justeru mereka akan melihat bahawa jenama Eropah menyediakan penyelesaian terbaik untuk ini,” katanya pada taklimat media berkenaan persaraan awalnya, di sini, hari ini.
Mueller memilih untuk bersara sebelum kontraknya tamat pada Ogos tahun ini.
Sementara menunggu pelantikan pengganti, bagi memastikan proses peralihan yang lancar, Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran, Jerome Wong dan Ketua Selepas Jualan, Thayalan Subramaniam, akan bertindak sebagai kepemimpinan di syarikat berkenaan.
MAN Truck & Bus adalah antara pengeluar utama kenderaan komersial dan penyedia penyelesaian pengangkutan di Eropah. Kumpulan berkenaan menghasilkan 3,000 pelbagai asas trak di seluruh dunia. – Bernama