Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Sebagai sebahagian daripada Program Perhubungan Pelanggannya, Premier Automobiles Sdn Bhd (PASB) dengan sokongan Kelab Pemilik Ford Ranger (FROC) Brunei menganjurkan berkonvoi ke Sukang, baru-baru ini.
Sebanyak 14 buah kenderaan yang terdiri daripada model Ranger dan Everest, membawa 41 peserta konvoi yang diketuai oleh Presiden FROC Brunei, Haji Ismalee bin Haji Mohd Jalil membuat perjalanan offroad ke Sukang dan menyertai Festival Sukang Ku Ceria.
Dalam perjalanan pulang, konvoi singgah sebentar ke Taman Warisan Tasek Merimbun Tutong, tasik semula jadi terbesar di negara ini. PASB menjalankan program perhubungan pelanggannya dari semasa ke semasa untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan Ford serta membina hubungan kekeluargaan dalam kalangan pemilik Ford.
