Selepas sebulan pulang daripada menunaikan ibadah haji, vokalis kumpulan Ungu, Pasha berkongsi rasa teruja apabila dapat menghiburkan peminat di Dewan Plenari Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam kelmarin.
Pasha atau Sigit Purnomo Said, 46, mengucapkan terima kasih buat ribuan peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan terhadap kerjaya seni mereka.
“Assalamualaikum. Perlu beri salam dulu sebab baru pulang haji dari Tanah Suci Makkah. Saya dimaklumkan jemaah haji terbaik datang dari Malaysia. Kita perlu kata tahniah jika ia benar.
“Terima kasih juga penganjur kerana memberi peluang kepada kami dan peminat di Kuala Lumpur yang masih sudi datang ke konsert Ungu. Tak sangka sold out malam ini sebanyak 2,500 tiket,” katanya.
Konsert yang diadakan selama hampir tiga jam itu turut memberi penghormatan buat pemain keyboard Ungu iaitu Gatot Kies Afrianto yang meninggal dunia pada 2 Jun lalu.
Segmen tersebut diiringi dengan seleksi lagu ketuhanan termasuk Bila Tiba dan Andai Ku Tahu.

Malah sewaktu mendendangkan lagu-lagu tersebut, sebuah video tribute dipaparkan pada skrin mengimbau kenangan kumpulan Ungu bersama Allahyarham Gatot.
“Tepat 40 hari lalu kami kehilangan pemain keyboard Gatot Kies Afierianto yang meninggal dunia. Lagu tersebut khas untuknya,” ujar Pasha.
Tidak terhenti di situ, Pasha turut membuat kejutan memberikan hadiah jambangan bunga kepada sepasang pasangan suami isteri bertuah. Kedua-dua mereka turut dijemput naik ke atas pentas sambil mendengarkan nyanyian mereka bertajuk Ku Ingin Selamanya.
Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu yang dianjurkan oleh Apex Venture Global Sdn Bhd ini menampilkan 17 buah lagu termasuk Melayang, Cinta Dalam Hati, Sayang, Kekasih Gelapku, Demi Waktu dan Hampa Hatiku.
Istimewanya buat julung kali Ungu menjayakan konsert dengan diiringi pemuzik orkestra yang dipimpin oleh JP Denny.
Konsert turut diserikan lagi dengan persembahan artis jemputan iaitu Gretchene Quirina menerusi tiga buah lagu termasuk Mangu, Sampai Menutup Mata dan Aku Bodoh. – Agensi
