Penyanyi kumpulan Unggu iaitu Pasha meminta penjelasan daripada pihak produksi drama selepas mendapat tahu anak lelakinya ditampar oleh pelakon Dimas Anggara di lokasi penggambaran.
Pasha atau Sigit Purnomo Said, 46, mendesak pihak bertanggungjawab memberikan penjelasan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku kepada Kiesha Alvora yang dianggap sebagai satu tindakan keras.
“Saya minta pihak produksi menjelaskan perkara sebenar dan bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku kepada Kiesha (anak Pasha),” katanya.
Pasha berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya, menurut laporan mStar.
Dalam pada itu, Pasha memberitahu tindakan kasar ini tidak seharusnya berlaku di lokasi penggambaran dan pihak produksi seharusnya menjaga kebajikan barisan pelakon dengan baik.
“Lokasi penggambaran sepatutnya menjadi tempat yang selamat daripada berlaku sebarang kekerasan khususnya kepada para pelakon.” ujarnya.
Sebelum ini, Pasha secara terbuka meluahkan kemarahan kepada Dimas menerusi Instagram miliknya kerana melakukan kekasaran fizikal terhadap Kiesha.
Malah, penyanyi lagu Demi Waktu ini mahu bertemu dengan Dimas untuk berbincang berhubung isu berkenaan. – Agensi
