Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasir pantai Tunisia semakin terhakis

    HAMMAMET, TUNISIA – Di pekan pinggir laut Tunisia, Hammamet, mesin-mesin jentolak berterusan mengaut pasir dari padang pasir berdekatan ke sebuah pantai popular sebagai usaha untuk menghentikannya daripada hilang disebabkan hakisan.

    “Pantai ini merupakan imej poskad Hammamet,” kata pencinta alam sekitar, Chiheb Ben Fredj melihat ke arah pantai Yasmine yang ikonik di bandar tersebut dengan penuh nostalgia.

    “Ia sudah terpatri dalam minda kami semenjak kecil lagi,” tambahnya, sementara buruh-buruh bekerja keras untuk memulihkan kawasan dermaga Tunisia tengah itu kembali ke kegemilangannya.

    Seperti banyak tempat di kawasan pantai di Afrika Utara, hakisan teruk telah menyebabkan banyak pantai-pantai berpasir Hammamet hilang dalam beberapa tahun kebelakangan, memberi impak pada tempat tarikan percutian itu yang terletak kira-kira 65 kilometer di timur ibu kota Tunis.

    Pesisir-pesisir laut di seluruh dunia sentiasa berubah secara semula jadi, dengan laut-laut membawa dan meninggalkan endapan.

    Gambar menunjukkan pemandangan umum pantai ketika pasir dihampar untuk melindungi daripada kenaikan paras laut dan hakisan. – AFP
    Gambar menunjukkan mesin jentolak sedang mengaut pasir yang akan dihampar di pantai pada 28 Jun lalu. – AFP
    Gambar AFP
    Seorang nelayan menyediakan pukatnya berhampiran mesin jentolak. – AFP
    Gambar AFP

    Walau bagaimanapun, aktiviti manusia termasuk pembangunan kawasan pantai dan perlombongan pasir luar pantai, mempercepatkan penghakisan pantai secara signifikan.

    Antara impak-impak yang lain, pembangunan dan perlindungan pantai di sesebuah kawasan boleh menghentikan endapan daripada dibawa ke sepanjang pesisir, menyebabkan pantai-pantai yang ada kekurangan material yang baharu.

    Kajian-kajian turut menunjukkan impak daripada perubahan iklim, termasuk peningkatan suhu dan paras laut, memburukkan lagi fenomena tersebut.

    TARIKAN PELANCONGAN

    Di Mediterranean, di mana Pusat Oseanografi Kebangsaan British mengatakan paras laut telah meningkat dengan kadar yang tinggi sejak 20 tahun kebelakangan daripada keseluruhan kurun ke-20, kawasan-kawasan pantainya berubah dengan cepat.

    Lautnya juga memanas 20 peratus lebih cepat berbanding di seluruh dunia, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Kawasan pantai Tunisia merupakan aset utama bagi negara Mediterranean yang mengalami pergelutan ekonomi, di mana ia menetapkan untuk menjadi tuan rumah kepada 10 juta pelancong tahun ini.

    Pelancongan menyumbang 14 peratus daripada KDNK negara, menyediakan puluhan ribu pekerjaan di negara di mana pengangguran mencecah hingga 16 peratus dan 40 peratus daripadanya kalangan belia.

    Tunisia telah kehilangan lebih dari 90 kilometer daripada pantainya akibat hakisan, menurut angka rasmi dari tahun lepas.

    Daripada 570 kilometer pantai berpasir negara itu yang sesuai untuk aktiviti berenang, 190 kilometer menghadapi risiko hilang, menurut laporan Tunisia.

    Sebahagian besar pantai-pantai yang terjejas hakisan terletak berdekatan bandar-bandar.

    Kumpulan-kumpulan alam sekitar Tunisia, termasuk Agensi Perlindungan dan Pembangunan Pantai (APAL) kerajaan, mengatakan hakisan yang pantas kebanyakannya di-sebabkan oleh aktiviti manusia dan pembinaan di pantai, yang mereka katakan diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

    “Projek-projek pembinaan tidak direka untuk menghormati dinamik pantai,” kata pegawai APAL kepada AFP.

    TIDAK MAMPAN

    Untuk menyelamatkan pantai Hammamet, salah satu yang paling teruk terjejas di Tunisia menurut Bank Dunia, bulan lepas pihak berkuasa telah mula mengangkut kira-kira 750 muatan lori pasir yang diambil dari padang pasir di Kairouan, terletak kira-kira 110 kilometer dari sana.

    APAL, yang beroperasi di bawah kementerian alam sekitar, berlumba dengan waktu untuk menembok pantai itu sebelum kemuncak musim pelancong.

    Meskipun begitu pembinaan semula pantai, yang dikenali sebagai penyegaran pantai, mungkin penyelesaian segera, “ia bukanlah penyelesaian yang mampan”, kata Ben Fredj.

    “Pasir ini tidak akan bertahan lama,” tambah setiausaha agung Persekutuan Pendidikan Alam Sekitar.

    “Ia boleh hilang dalam beberapa hari jika dilanda ribut”, katanya, seperti yang telah terjadi pada musim panas 2023.

    Prosesnya juga terbukti mahal.

    Pihak berkuasa pantai menganggarkan kos untuk memulihkan pasir di tiga pantai di Hammmet, Monastir dan Sfax mencecar AS$1.25 juta.

    Tetapi bagi warga tempatan, perbelanjaan itu berbaloi untuk memulihkan semula dermaga mereka yang tidak ternilai itu.

    “Pantai Yasmine adalah pameran untuk Hammamet,” kata Narjess Bouasker, yang mengendalikan hotel Menara di bandar itu dan mengetuai persekutuan hotel serantau.

    “Kami mesti mengambil kembali pantai kami yang telah ditelan laut,” katanya, menyeru keseimbangan antara menjaga landskap, yang dihargai oleh penduduk tempatan dan pelawat asing, dan memerangi hakisan pantai.

    “Bagi kami, keutamaan adalah untuk tidak menyentuh keindahan bandar,” katanya.

    Bouasker berkata dia telah melihat peningkatan kesedaran di kalangan pihak berkuasa, tetapi mengisi semula pantai dengan pasir masih menjadi sebuah pertaruhan.

    “Kami tidak tahu bagaimana laut akan bertindak balas”, tambahnya.- AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda