Tuesday, February 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pastikan anak-anak hadir ke sekolah, elak tercicir

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Mengikut pindaan Akta Pendidikan Wajib, tahun 2024 merupakan permulaan bagi persekolahan kanak-kanak yang mencapai umur lima tahun untuk wajib bersekolah, khususnya mereka yang terdiri daripada warga Negara Brunei Darussalam dan yang bermastautin di negara ini.

    Bagi kanak-kanak yang mencapai umur lima tahun pada 31 Disember adalah diwajibkan mendaftar bagi kemasukan prasekolah bermula awal tahun berikutnya dan pendaftaran bagi kemasukan sesi persekolahan mulai Januari 2024 telah dibukakan bagi kanak-kanak yang berumur lima tahun untuk mengikuti kelas pra di sekolah-sekolah rendah kerajaan.

    Manakala, bagi kanak-kanak yang belum berkesempatan untuk membuat pendaftaran, mereka masih diberikan peluang untuk mendaftar di sekolah-sekolah rendah masing-masing.

    Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkan, menyeru dan menasihatkan para ibu bapa atau penjaga untuk memberikan kerjasama dalam memastikan anak-anak mereka menghadiri sesi persekolahan agar tidak tercicir dalam pembelajaran atau mendapat pendidikan, lebih-lebih lagi bagi yang masih dalam lingkungan umur Akta Pendidikan Wajib.

    Sesi persekolahan penggal pertama bagi tahun akademik 2024 bagi semua sekolah rendah, menengah dan maktab serta pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah agama dan Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama bermula hari ini.

    Antara murid yang memulakan sesi persekolahan penggal pertama bagi tahun akademik 2024. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sementara itu, sekolah-sekolah antarabangsa dan pusat-pusat latihan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) akan bermula mengikut kalendar akademik masing-masing.

    Manakala, sesi persekolahan bagi prasekolah di sekolah-sekolah rendah kerajaan seluruh negara akan bermula pada 6 Januari.

    Merujuk Kenyataan Media Kemen-terian Pendidikan pada 23 Oktober 2023 mengenai pengintegrasian mata pelajaran agama ke dalam sistem pendidikan umum yang telah dilaksanakan pada November 2023, pelajar peringkat Pra sehingga Darjah 3 agama adalah mengikuti pendidikan agama mereka di sekolah rendah masing-masing.

    Manakala, pelajar-pelajar yang menuntut dalam Darjah 4 hingga 6 agama masih meneruskan pembelajaran di sekolah-sekolah agama seperti lazimnya.

    Melalui pengintegrasian ini, mata-mata pelajaran yang lazimnya diajarkan di sekolah-sekolah agama diserapkan ke dalam kurikulum pendidikan umum di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda