Sunday, March 9, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pastikan data peribadi dilindungi sewajarnya

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi persidangan hari keenam hari ini telah mengongsikan perkembangan terkini dalam usaha mewujudkan alam siber atau digital yang lebih selamat dan diyakini, khususnya berhubung dengan perlindungan data peribadi.

    Pada persidangan yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat Pengiran Dato menjelaskan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

    Ia khususnya bertujuan memberikan tempoh tangguh ke arah pematuhan secara keseluruhan perintah tersebut dalam masa satu tahun.

    “Perintah ini adalah penting kerana aspek Digital Data Policy and Governance adalah antara pemboleh strategik atau strategic enabler dalam perjalanan transformasi digital Negara Brunei Darussalam, sepertimana juga dikenal pasti di dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025,” jelasnya.

    Selain itu, perintah tersebut adalah pelengkap kepada Garis Pandu Perkongsian Data dalam kalangan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang sudah diperkenalkan pada tahun 2023, yang mana data dan maklumat bagi jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan juga dikawal di bawah Akta Rahsia Rasmi, Penggal 153 dan Manual Keselamatan Perlindungan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary mengongsikan perkembangan terkini semasa Persidangan MMN kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Yang Berhormat Pengiran Dato turut menjelaskan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 itu bertujuan untuk menangani keperluan dasar, perundangan dan rangka kerja kawal selia bagi perlindungan data peribadi dan urus tadbir data, dalam kalangan organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta.

    Ini termasuk mereka yang memproses atau mengendali data peribadi untuk sektor awam atau jabatan-jabatan kerajaan, bagi memastikan amalan dan tatacara mengumpul, menyimpan, menggunakan, mendedahkan dan memproses data peribadi oleh mana-mana pihak berkenaan di negara ini adalah selaras dengan amalan-amalan terbaik dan dikawal oleh undang-undang.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary seterusnya mengongsikan antara peruntukan utama perintah tersebut adalah menetapkan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) sebagai pihak berkuasa bagi hal ehwal berkaitan perlindungan data peribadi, selain menggariskan kewajipan organisasi sektor swasta dan bukan kerajaan dalam memastikan data yang dikumpul adalah tepat dan dilindungi dengan sewajarnya.

    “Sebagai langkah ke hadapan, pihak AITI akan terus mempergiatkan program-program pembarigaan mengenai perlindungan data peribadi ini di samping mendukung kegiatan membina kemahiran dan kecekapan,” tambah beliau.

    Selain itu, program kompetensi bagi pegawai perlindungan data yang dilaksanakan oleh AITI itu dirancang untuk dilanjutkan lagi dengan mengadakan kohort 3 dan 4 pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

    “Kursus latihan tambahan, iaitu Personal Data Protection Practitioner Course juga dirancang untuk diperkenalkan pada pertengahan tahun ini,” jelasnya.

    Manakala rangka kerja kompetensi bagi pegawai perlindungan data juga sedang disediakan dan pada masa yang sama usaha juga sedang dibuat bagi penyediaan maklumat rujukan awam, garis panduan nasihat dan panduan praktikal tentang perlindungan data peribadi serta langkah-langkah yang perlu diambil oleh sesebuah organi-sasi untuk mematuhi perintah dan amalan-amalan terbaik.

    “Ini termasuk menyediakan maklumat rujukan awam dalam bentuk infografik, soalan-soalan lazim (FAQs), klip video, laman web dan lain-lain,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda