Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Dalam dunia yang berubah dengan pantas hari ini, graduan perlu terus berwaspada dan memahami kepentingan untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan kebolehpasaran dengan menggunakan kreativiti, mengamalkan pemikiran positif dan memiliki kemahiran dan kebolehan yang dihargai oleh majikan.
Perkara itu ditekankan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar pada Majlis Konvokesyen Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitian (CCCT) di The Empire Brunei, Jerudong, kelmarin.
Pada majlis itu, Anugerah Cemerlang Akademik telah diberikan kepada Awang Iswendy bin Murni manakala Anugerah Persembahan Terbaik Keseluruhan dimenangi oleh Dayang Lily Suryani binti Haji Mohsin. Awang Iswendy mengongsikan bahawa CCCT banyak membantunya untuk menjadi individu yang lebih baik dan sebagai pegawai di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), beliau telah mendapat banyak ilmu sepanjang pembelajaran di sana.
Manakala itu, Dayang Lily Suryani yang merupakan pelajar separuh masa dan ibu kepada seorang anak, melahirkan harapan dengan kejayaan yang di peroleh itu akan dapat menjadi pendorong dan semangat kepada generasi belia untuk terus mencapai impian yang diharapkan.
“Ketabahan dan keazaman adalah sifat terhebat dalam perjalanan saya sebagai pelajar CCCT, terutamanya dalam mengimbangi tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar, ibu, isteri dan pekerja,” jelasnya.




