Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Bagi memastikan Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41), Tahun 2025 yang akan diadakan pada 22 Februari nanti berjalan lancar, tinjauan telah dibuat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Hadir membuat tinjauan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Juga hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.
Selain tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, acara keagamaan ini juga akan diadakan di beberapa buah masjid di seluruh negara sebagai tumpuan iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara, serta Masjid Perpindahan Lambak Kanan.
Sementara itu, bagi Daerah Belait, tumpuan majlis ialah di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria.
Manakala bagi Daerah Tutong pula akan diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Di Daerah Temburong, majlis akan berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
