Pastikan kelancaran musabaqah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Bagi memastikan kelancaran dan memantapkan perjalanan Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M yang akan diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula esok, latihan penuh (raptai) telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini akan membawa tema ‘Menjana Keberkatan Dengan Al-Quran’.

Hadir bagi menyaksikan latihan pagi tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1441 Hijrah dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.
Pada tahun ini, seramai 12 orang peserta iaitu enam orang qari dan enam orang qariah yang terpilih di peringkat separuh akhir kebangsaan akan memperdengarkan bacaan mereka di musabaqah peringkat akhir kebangsaan tersebut.

Peserta qari ialah Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin; Pengiran Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki; Awang Muhammad Zul Hafiz bin Awang Tengah; Awang Muhammad bin Ali; Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya dan Haji Mahrof bin Haji  Chuchu.

Sementara itu, peserta qariah pula terdiri daripada Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofre; Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki; Hajah Norhafidzah binti Haji Hassan; Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofre; Dr Dayang Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman; dan Dayang Siti Zahrina binti Haji Abdul Wahab.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyaksikan raptai penuh di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.