Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Bagi memastikan kelancaran Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-35, Tahun 2025, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan raptai penuh Majlis Sambutan Hari Guru yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Hadir bagi menyaksikan raptai penuh tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir semasa raptai penuh berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEU dan Kementerian Pendidikan serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-35, Tahun 2025.
Majlis Sambutan Hari Guru akan diadakan pada 23 September di Dewan Plenari, ICC, Berakas dengan membawa tema, Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi, serta subtema, Memperkasa Pendidik, Menginspirasi Masa Depan Hijau.
Seperti lazimnya, acara kemuncak sambutan Hari Guru ialah majlis pengurniaan anugerah-anugerah Hari Guru sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan jasa para pendidik di negara ini.
Majlis sambutan akan turut diselajurkan dengan pameran Hari Guru yang diselaraskan dengan tema sambutan 2025.
Pameran bagi 2025 akan membawa tema, Pengajaran Masa Hadapan: Kemampanan Pendidikan, dengan konsep pameran yang memfokuskan kepada Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) dan Pelan Pendidikan Hijau dengan pameran akan dibukakan hingga 25 September.



