Wednesday, February 19, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pastikan kelancaran sambutan HK41

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Hanya tinggal beberapa hari saja lagi apabila Negara Brunei Darussalam akan menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan ke-41 (HK41) dengan upacara perhimpunan agung diadakan di Taman Haji Sir Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada 23 Februari ini.

    Sehubungan itu, bagi memastikan acara berjalan lancar, latihan bersepadu upacara perhimpunan agung yang melibatkan 20,000 peserta daripada kalangan penuntut dan warga perkhidmatan awam telah diadakan hari ini.

    Latihan bersepadu berkenaan telah disaksikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK41, Tahun 2025, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi HK41.

    Semangat patriotisme, cinta dan taat kepada raja dan negara jelas dilihat pada wajah setiap peserta yang sama-sama menjayakan upacara perhimpunan agung sambutan HK41 berkenaan.

    Perbarisan lalu dibahagikan kepada tiga kumpulan, Kumpulan A yang terdiri daripada Kepala Perbarisan, iaitu pembawa bendera besar, kumpulan pembaca ikrar dan takbir, pembawa bendera negara dan logo, pasukan beruniform kerajaan, pasukan kadet dan persatuan beruniform, pasukan beruniform lain, sektor awam, jabatan daerah dan badan berkanun.

    Kumpulan B pula terdiri daripada sektor pendidikan manakala Kumpulan C terdiri daripada persatuan belia dan umum, syarikat swasta, pasukan cemerlang dan tujuh puak jati Brunei.

    Bagi persembahan, ia melibatkan tiga segmen iaitu persembahan pertama bertemakan Permata Bangsa, persembahan kedua adalah medley lagu-lagu patriotik manakala persembahan ketiga adalah Bersatu Mencapai Cita Negara.

    Latihan bersepadu berkenaan akan diteruskan esok sebagai persiapan untuk raptai penuh yang akan dilaksanakan pada 19 dan 20 Februari.

    Peserta yang mengambil bahagian dalam latihan sempena sambutan Ulang Tahun HK41 yang diadakan kelmarin. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda