Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pastikan kesihatan mental satu keutamaan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Negara Brunei Darussalam memandang serius isu kesihatan mental dengan beberapa tindakan dan program telah dirancang untuk dilaksanakan.

    Salah satunya adalah meneruskan inisiatif mempromosikan kesihatan mental dan kesejahteraan diri sesuai dengan tema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 iaitu Kesihatan Mental adalah Hak Asasi, dengan pelancaran simposium dan jerayawara kesihatan mental, Kesihatan Mental di Tempat Kerja adalah Hak Asasi Semua, di mana ia akan dilanjutkan kepada kementerian-kementerian lain.

    “Inisiatif yang merupakan gabungan tenaga Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) berserta pihak-pihak berkepentingan yang lain ini akan dijalankan merentasi jangka masa satu tahun ini,” tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa berucap pada Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato berkata perancangan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai, khususnya penjawat awam akan kepentingan menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan diri dalam kehidupan seharian.

    Dalam memperkasa masyarakat dalam pengetahuan dan tindakan mengenai kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan telah pun merancang beberapa program bersama dengan badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pihak sukarelawan, agensi swasta dan kerjasama daripada pihak antarabangsa.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan ahli-ahli MMN serta para jemputan bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa antara program berkenaan ialah program yang menumpukan kesihatan mental di tempat kerja, secara bergilir-gilir di setiap kementerian di mana setiap kementerian akan berpeluang menjadi tuan rumah untuk program tersebut setiap bulan.

    Beliau menerangkan program kesihatan mental di tempat kerja adalah sangat penting kerana menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 15 peratus daripada orang yang bekerja mengalami kecelaruan mental pada bila-bila masa. Dalam meningkatkan literasi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini, Latihan Pertolongan Pertama Psikologi akan diadakan buat julung kali di Brunei oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam.

    Beliau menerangkan Kementerian Kesihatan juga menandatangani memorandum Friends of Health Promotion Centre antara Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan (HPC) bersama lima NGO, iaitu PBSM Brunei Darussalam, Majlis Belia Brunei, Big Begawan, Cope for Hope dan The Blue Raincoat Collective.

    Penandatanganan memorandum itu bertujuan untuk memperkasakan pendekatan seluruh negara memupuk kerjasama serta membuka peluang kepada NGO untuk meluaskan lagi kapasiti sendiri dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran serta merubah sikap orang awam terhadap kepentingan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

    “Inisiatif menangani isu kesihatan mental bukan sahaja dilaksanakan di peringkat kebangsaan malahan telah dirancang untuk dilaksanakan di peringkat serantau melalui pelaksanaan Projek ASEAN Plus-Three Workshop on the Sharing of Best Practices for Mental Health Promotion in School Settings dengan sokongan Secretariat ASEAN (ASEC) dan University of Melbourne, Australia pada 2024,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

    Demi mempertahankan kemampanan ke arah usaha menangani masalah kesihatan mental, ia bukan saja dianggap satu hak asasi manusia, tetapi juga merupakan tanggungjawab bersama dan bukan pula tanggungjawab yang terhad kepada agensi-agensi kerajaan yang tertentu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...