Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) mengingatkan semua prinsipal, majikan dan orang yang bekerja secara persendirian yang menjalankan tugas mereka di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, 2009 untuk memastikan keselamatan pekerja mereka dan orang lain.
SHENA turut menekankan bahawa semua prinsipal, majikan dan orang yang bekerja secara persendirian yang memiliki lif atau mereka yang bertanggungjawab atas keselamatan operasi penggunaan lif yang digunakan untuk membawa barangan atau penumpang bahawa mereka mematuhi undang-undang di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Peruntukan Am), 2014 yang boleh didapati di laman sesawang SHENA www.shena.gov.bn.
Lif pada umumnya dilengkapi dengan sejumlah ciri keselamatan seperti brek keselamatan, sensor pintu, alat penutup pintu, ciri pengosongan kecemasan, pencahayaan kecemasan, sistem kecemasan kuasa dan kebakaran.
Peraturan 2014 itu menghendaki semua lif yang disediakan untuk digunakan dalam kegiatan kerja diperiksa dengan teliti oleh pemeriksa yang diberi kuasa secara berkala, setiap enam bulan sekali yang mana ia berlaku bagi lif dan pengangkat yang digunakan untuk mengangkut orang dan muatan.
Selain itu SHENA turut memperingatkan bahawa penggunaan lif yang tidak diperiksa dan tanpa mendapat pengiktirafan keselamatan merupakan satu kesalahan di bawah peraturan 2014 itu.
Di samping itu, di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Pengurusan Risiko), 2014, semua prinsipal, pengendali, majikan dan pekerja yang bekerja secara persendirian adalah diminta untuk melakukan penilaian risiko khususnya terhadap kegiatan mereka berkaitan dengan risiko keselamatan dan kesihatan yang boleh menjejaskan mana-mana individu serta menyeru agar mengambil semua langkah yang wajar untuk menghapuskan sebarang risiko yang boleh terjadi kepada mana-mana orang di tempat kerja, sebelum memulakan kerja mereka di lokasi.