Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pastikan peralatan elektrik boleh dibaiki

    BERLIN, 1 MAC – Syarikat yang menjual peti sejuk, mesin cuci, pengering rambut atau televisyen di Kesatuan Eropah perlu memastikan peralatan tersebut boleh dibaiki sehingga 10 tahun, untuk membantu mengurangkan sejumlah besar bahan buangan elektrik yang bertimbun setiap tahun di benua itu.

    ‘Berhak membaiki’ seperti yang digelar, berkuat kuasa di blok 27 negara hari ini. Ia merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengurangkan pelepasan karbon oleh produk yang dihasilkan dengan menjadikan mereka lebih tahan dan jimat tenaga.

    “Ia merupakan satu langkah besar dalam haluan betul,” kata Daniel Affelt dari kumpulan alam sekitar BUND-Berlin, yang mengendali beberapa ‘kafe membaiki’ di mana orang boleh membawa peralatan rosak mereka dan dibaiki sekali lagi.

    Peralatan moden sering kali digam semula, kata beliau. “Jika anda memerlukan alat khas atau perlu membuka peranti, maka anda tidak dapat membaikinya.”

    Kekurangan alat ganti juga menimbulkan masalah, menurut pekempen. Kadangkala gerigi yang patah di gegancu plastik boleh mencetuskan masalah besar.

    “Orang mahu membaiki peralatan mereka,” kata Affelt. “Apabila anda memberitahu mereka tidak adanya alat ganti untuk peranti yang hanya berusia beberapa tahun, mereka pastinya berasa kecewa.”

    Di bawah peraturan baharu EU, pengeluar perlu memastikan alat ganti boleh diperoleh sehingga satu dekad, walaupun sesetengahnya hanya akan dibekalkan kepada syarikat membaiki profesional untuk memastikan mereka dipasang dengan betul.

    Peranti baharu juga perlu datang bersama manual membaiki dan direka di mana mereka boleh dibuka menggunakan alat konvensional apabila mereka benar-benar tidak dapat dibaiki, untuk mempertingkat kitar semula. – AP

    Seorang wanita berjalan di depan kedai yang menawarkan khidmat baiki peralatan elektronik di Berlin, Jerman pada 26 Februari 2021. Kempen ‘berhak membaiki’ berkuatkuasa di 27 negara blok Eropah kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda