Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pastikan persekitaran tertutup terbaik untuk kanak-kanak

    KUALA LUMPUR – Mewujudkan persekitaran tertutup yang selamat dan selesa untuk kanak-kanak adalah penting demi pembangunan optimum mereka, bukan hanya di rumah malah di pusat-pusat penjagaan kanak-kanak dan sekolah.

    Kualiti udara dalaman penting

    Anak damit menghabiskan sebahagian besar masanya di tempat tidur dan bernafas lebih kerap iaitu kira-kira dua kali ganda berbanding orang dewasa. Oleh itu, ibu bapa perlu prihatin terhadap tahap kualiti udara di dalam rumah kerana bayi menghabiskan kira-kira lapan hingga 20 jam sehari di situ.

    Kajian menunjukkan bahawa pencemaran udara bagi persekitaran tertutup boleh mencapai dua hingga lima kali lebih tinggi berbanding kawasan terbuka. Akibatnya, boleh memudaratkan kesihatan, terutama bagi golongan sensitif iaitu anak, individu tidak sihat dan orang tua.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendedahan kepada pencemaran udara boleh menyebabkan bencana kesihatan yang teruk di seluruh dunia terutama di negara-negara membangun.

    WHO mengenal pasti antara bahan yang mencemar udara dalaman adalah formaldehid. Bahan kimia ini digunakan dalam pengeluaran perekat, agen pengikat dan pelarut.

    Bahan itu boleh didapati di dalam pelbagai produk pengguna termasuk produk-produk kayu mampat seperti papan lapis, papan partikel, panel, serta penebat busa.

    Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI), Dr Amir Hamzah menegaskan bahawa anak damit dan kanak-kanak yang paru-parunya tidak berkembang sepenuhnya akan akhirnya terdedah kepada formaldehid yang tidak kelihatan, terdapat dalam produk-produk rumah seperti perekat lantai.

    “Ia terdapat di hampir setiap rumah dan bangunan.

    “Rumah baharu lebih cenderung mengandungi formaldehid yang tinggi, yang boleh menyebabkan gejala-gejala seperti mata berair, batuk dan kerengsaan hidung serta tekak,” katanya dalam forum itu, sambil menambah bahawa satu daripada lima orang lebih sensitif terhadap formaldehid walaupun terdedah pada kadar rendah.

    Bahan pencemar berbahaya lain (lebih tinggi) yang biasanya terdapat dalam persekitaran tertutup adalah benzena dan naftalena. Benzena boleh didapati dalam gasolin dan bahan api lain, serta pelbagai produk di rumah seperti perekat, cat, lilin perabot, bahan pencuci, pemanas air, dandang, dapur gas, ketuhar dan asap tembakau.

    Selain itu, naftalena yang diperbuat daripada minyak mentah atau tar arang batu, adalah produk hasil daripada proses pembakaran. Ia boleh didapati dalam asap rokok dan ekzos kereta, dan digunakan sebagai racun serangga dan pencegah binatang perosak.

    Dinding dan penyakit

    Dinding di sekeliling kita yang melindungi kanak-kanak agar selamat mungkin juga dinding sama yang menyebabkan mereka jatuh sakit.

    Ramai yang cenderung mengabaikan perkara-perkara berkaitan dinding, permukaan paling besar di sekeliling kita yang juga medium untuk penyebaran virus dan bakteria serta berkemungkinan menyebarkan penyakit-penyakit seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), influenza dan e-coli.

    Malah, virus selesema kadang-kadang dapat bertahan di permukaan dalaman selama lebih dari tujuh hari.

    Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah menjelaskan mengapa dinding bersih sangat penting bagi perkembangan kanak-kanak.

    “Apabila anak damit mula merangkak mereka akan ‘menerokai’ dunia, lantai, dinding, dan kadang-kadang anak perempuan terutamanya akan cuba menjilat apa juga permukaan yang dihampirinya.

    “Ini bukanlah suatu perkara yang selamat tetapi pada masa sama kita tidak dapat menghalangnya kerana ia adalah sebahagian daripada proses tumbesaran, mereka belajar daripada deria,” katanya.

    Norsheila menasihatkan ibu bapa agar membersihkan rumah mereka dan tidak membawa anak ke luar tanpa sebab penting ketika berlaku wabak penyakit seperti HFMD. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda