Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pastikan Sabah, Sarawak dapat layanan adil’

    KUALA LUMPUR, 28 FEB – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan memastikan Sabah dan Sarawak diberi layanan adil dalam pelbagai aspek, seiring dengan pewujudan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Mengambil kira jurang Sabah dan Sarawak yang masih jauh tertinggal dalam pelbagai aspek, perdana menteri melahirkan pandangan bahawa terdapat banyak lagi usaha yang perlu dibuat bagi meletakkan kedua-dua negeri berkenaan agar setara dengan Semenanjung.

    “Sabah dan Sarawak mesti diberikan layanan yang sama adil sebab itu saya adakan (lantik) Menteri yang mengurus Sabah dan Sarawak, MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) kita teliti, halusi, sebahagian kita dah bersetuju bersama-sama,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun beliau memegang jawatan perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara, di sini.

    Wawancara khas itu turut disiarkan menerusi siaran televisyen berita perdana di Bernama TV dan stesen televisyen lain. Muhyiddin, yang mula memegang tampuk pemerintahan negara pada 1 Mac 2020 berkata pewujudan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak itu berikutan kedudukan kedua-dua negeri berkenaan yang jauh ketinggalan dari sudut pembangunan dan infrastruktur.

    “Memang awal lagi waktu saya bentuk Kabinet saya fikir ini satu perkara utama sebab itu saya lantik Maximus Ongkili (Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili) dan timbalan menteri (Datuk Hanifah Hajar Taib) saya sudah mulakan mesyuarat khas bersama-sama Ketua Menteri untuk bincangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA6),” katanya.

    Walaupun pelbagai usaha dan agenda pembangunan bagi kedua-dua negeri sudah diambil, perdana menteri berkata Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan, dengan isu-isu pokok yang membelenggu sejak sekian lama iaitu soal kemiskinan, infrastruktur, ekonomi dan akses internet.

    “… banyak lagi yang perlu dibuat untuk meletakkan Sabah dan Sarawak setara dengan Semenanjung. Malahan di Semenanjung pun ada negeri-negeri yang masih lagi di belakang berbanding sesetengan negeri lain. – Bernama

    Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemu bual, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda