THE HAGUE, 9 DIS – Badan pemantau senjata kimia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, OPCW hari ini berkata ia telah memberi amaran kepada pihak berkuasa Syria untuk memastikan simpanan senjata kimia yang disyaki adalah selamat selepas penggulingan pemimpin Syria, Bashar al-Assad.
OPCW berkata ia telah menghubungi Syria dengan tujuan untuk menekankan kepentingan yang paling utama bagi memastikan pengawalan dan keselamatan semua bahan dan kemudahan berkaitan senjata kimia di negara itu.
Syria bersetuju pada 2013 untuk menyertai OPCW sejurus selepas serangan gas kimia yang didakwa membunuh lebih 1,400 orang berhampiran Damsyik.
Ia menyerahkan simpanan stoknya yang diisytiharkan untuk dimusnahkan tetapi OPCW sentiasa bimbang bahawa pengisytiharan yang dibuat oleh Damsyik tidak lengkap dan lebih banyak senjata masih kekal.
“Sehingga kini… pengisytiharan Syria mengenai program senjata kimianya masih tidak boleh dianggap sebagai tepat dan lengkap,” kata OPCW.
“Kebimbangan serius masih wujud mengenai kelengkapan pengisytiharan awal Syria dan keadaan sejumlah besar senjata kimia yang tidak diketahui,” tambah kumpulan itu. – AP