Kita semua mahu bernafas dengan mudah di luar dan dalam rumah.
Namun kita tidak boleh berbuat banyak secara individu untuk meningkatkan kualiti udara luar, tetapi kita boleh memastikan udara dalam rumah kita bersih.
Tetapi bagaimana cara terbaik untuk melakukannya?
Penapis udara boleh membantu.
Walau bagaimanapun, dalam jangka panjang, ia bukan pengganti pengudaraan yang kerap, menurut beberapa pakar.

Agensi Alam Sekitar Persekutuan Jerman berpendapat bahawa pengudaraan yang betul kekal sebagai cara terbaik untuk membersihkan udara dalam rumah.
Membuka banyak tingkap secara idealnya untuk mewujudkan pengudaraan menyeluruh beberapa kali sehari adalah penting semata-mata untuk mengelakkan pembentukan kulat dan kulapuk di dalam bilik.
Namun begitu, penapis udara boleh menjadi pelengkap yang baik, bukan sahaja apabila paras zarah bawaan udara adalah tinggi di luar dan awda ingin memastikan tingkap ditutup, tetapi juga untuk membersihkan udara dalaman daripada sebarang debunga atau gas berbahaya daripada cat atau lakuer, kata badan pemantau pengguna Jerman, Stiftung Warentest.
Selain menapis bahan berbahaya, beberapa pembersih udara boleh mengurangkan kepekatan patogen dan aerosol, yang memberi manfaat kepada penghidap asma dan alahan khususnya.
Namun model berprestasi tinggi tidak selalunya mengeluarkan semua bahan berbahaya, seperti yang dibuktikan dalam kajian tahun lepas (2024) oleh Stiftung Warentest.
Jadi, jika awda berfikir untuk membeli pembersih udara, pastikan awda mengumpulkan banyak maklumat terlebih dahulu.
Terdapat pelbagai jenis penapis udara di pasaran: penapis mudah, penapis karbon diaktifkan, penapis HEPA (udara zarah kecekapan tinggi) dan penapis gabungan.
Pusat nasihat pengguna menasihatkan agar tidak mendapatkan penapis yang menghasilkan ozon atau ion, terutamanya kerana penghidap alahan boleh bertindak balas terhadapnya.
Ia juga menunjukkan bahawa tidak semua pembersih udara dapat menyingkir aerosol yang mengandungi virus daripada udara.
Atas sebab ini, awda harus mendapatkan penapis HEPA yang dikelaskan H13 atau H14, yang biasanya dipasarkan sebagai ‘gred perubatan’ dan sangat cekap.
Penapis HEPA boleh diganti.
Kapasiti pembersih udara yang awda pilih hendaklah sesuai dengan saiz bilik dan bilangan orang dalam rumah.
Kenyaringan bunyi dan penggunaan elektrik juga kriteria penting.
Sementara itu, jangan hanya mengambil kira harga pembelian, pertimbangkan juga kos susulan kerana penapis mesti diganti dengan kerap.
Bergantung pada tahap pencemaran udara dalaman, Stiftung Warentest mengesyorkan menukar penapis setiap enam hingga 12 minggu.
Penapis terpakai boleh dibuang bersama sampah domestik. – ANN/The Star