Oleh Amri HTZ
PERKARANGAN rumah yang dihiasi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan mampu menyerikan pemandangan sesebuah rumah.
Namun ia memerlukan lebih perhatian dan masa untuk memelihara dan menyelenggarakannya terutama perbuatan rutin iaitu menyiramnya. Hal ini boleh diselesaikan dengan cara mereka pasu yang diperbuat daripada paip PVC dengan sistem pengairan sendiri.
Barang-barang yang diperlukan
Bagi mereka pasu dengan sistem pengairan sendiri (sedutan) yang diperbuat daripada paip PVC ini, beberapa barangan yang diperlukan ialah ¾ inci paip PVC dengan ukuran enam inci sebanyak empat bahagian, paip ¾ inci dengan panjang 1 ½ inci sebanyak enam bahagian, penyambung paip ¾ inci berbentuk T (tujuh bahagian), paip ¾ inci siku paip (empat bahagian), empat botol kosong dengan kuantiti 1.5 atau 2 liter, fabrik terpakai untuk dijadikan penyedut air (6’’ panjang), tanah kompos, dan tumbuhan.
Sementara itu untuk peralatan dalam projek ini, anda perlukan pisau pemotong, gergaji besi, gam PVC, kertas pasir, mesin gerudi putar Dremel, pemutar skru atau benda tajam, gam Teflon dan alat-alat pelindung keselamatan.
Langkah yang perlu dilakukan
Pada langkah pertama pembuatan potongkan paip PVC yang telah disediakan dengan ukuran yang diperlukan menggunakan gergaji besi.




Langkah ini adalah mudah untuk dilakukan memandangkan paip jenis ini adalah mudah untuk dikendalikan dan dipotong. Potong dengan ukuran yang telah dinyatakan sebelum ini.
Sementara itu pada langkah kedua, permukaan yang tidak rata daripada proses pemotongan tadi perlu dibersihkan dan diratakan menggunakan kertas pasir. Ini adalah bagi memastikan permukaan tersebut mudah untuk dimasukkan pada penyambung-penyambung paip. Selain menggunakan kertas pasir, anda juga boleh menggunakan pisau pemotong dengan memotong bahagian yang tidak rata tadi.
Pada langkah ketiga, setelah menyediakan kesemua bahagian yang diperlukan, masukkan paip dengan kepanjangan 6 inci pada kedua-dua bahagian penyambung paip bentuk ‘T’.
Sapukan pada bahagian dalam penyambung paip T menggunakan gam PVC untuk mengekalkannya pada kedudukan.
Setelah itu, ambil dua penyambung paip T dan masukkan pada bahagian hujung satu lagi yang telah digam sebelumnya. Rujuk pada gambar yang telah disediakan jika anda merasa keliru dengan langkah ini.
Sekarang anda telah mempunyai bahagian utama struktur pasu dengan tiga penyambung paip T. Jika anda mahukan lebih banyak pasu yang bakal digunakan pada bahagian ini, tambahkan penyambung paip T dan paip 6 inci seberapa banyak yang diperlukan. Namun perlu diingat, jika terlalu banyak pasu yang direka pada bahagian ini, ia akan membuatkan stand yang direka tidak mampu menampung beban sekali gus boleh menggagalkan rekaan anda.
Langkah seterusnya adalah memasangkan kedua-dua bahagian hujung struktur tadi menggunakan dua paip berukuran enam inci. Kemudian pasangkan penyambung paip berbentuk T pada bahagian hujung paip enam inci tadi cuma pada kali ini paip akan dipasangkan pada bahagian paip T yang mempunyai satu sudut atau lubang.
Selesai mereka bahagian atas struktur pasu tadi, kini anda boleh beralih ke proses seterusnya iaitu mereka kaki pasu. Dengan menyambungkan satu penyambung paip berbentuk T diikuti dengan paip 1 ½ inci pada kedua-dua bahagian, akhiri penyambungan pada bahagian kaki dengan memasangkan penyambung paip berbentuk L pada kedua-dua bahagian hujung dengan memastikan paip berbentuk T tadi menghadap pada bahagian atas.
Dua lebihan paip 1½ inci tadi akan dipasangkan untuk menyambung struktur pasu dan kaki stand tersebut. Sebelum menyambungkannya, tutup salah satu bahagian hujung paip 1½ inci tadi menggunakan kepingan besi atau plastik untuk memastikan air yang akan dimasukkan ke dalam stand akan kekal berada di dalamnya. Setelah itu kekalkan kedudukannya menggunakan gam PVC.
Gam yang digunakan ini sepatutnya mengering dengan cepat. Bagi memastikan gam yang digunakan cukup kukuh, berikan masa lebih kurang satu jam untuk gam mengering sebelum mengendalikannya untuk proses seterusnya.
Pada langkah seterusnya, masukkan fabrik yang telah dipotong menjadi tali pada bahagian dalam paip. Pada bahagian hujung satu lagi akan dimasukkan pada bahagian hujung botol yang telah ditebuk menggunakan besi tajam panas pada bahagian penutup botol atau menggunakan mesin gerudi. Bahagian hujung botol ini akan dimasukkan pada penyambung paip T bahagian atas. Jika bahagian hujung botol terlalu besar, anda boleh membesarkan lubang paip PVC menggunakan mesin gerudi putar.
Langkah terakhir adalah memasukan tanah ke dalam botol bekas dengan memastikan fabrik yang berfungsi sebagai penyedut air tadi pada bahagian tengah pasu.
Sementara itu, pada bahagian tengah struktur pasu, gunakannya untuk memelihara tumbuhan air selain menjadikannya penanda untuk memastikan air mencukupi untuk tumbuhan anda yang lainnya. Selamat mencuba!