Oleh Amri HTZ
Hobi menanam bunga-bungaan dalam pasu bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat setempat mahupun global.
Selain dijadikan sebagai tanaman hias, ia juga bermanfaat untuk terapi minda yang berguna bagi menghilangkan tekanan kehidupan.
Bukan sahaja untuk luar rumah, beberapa jenis tumbuhan terpilih juga boleh diletakkan di dalam rumah walaupun dengan cahaya matahari yang terhad.
Namun bagi menempatkannya, pasu khusus sesuai dengan tema hiasan ruangan diperlukan dan untuk itu, merekanya sendiri merupakan perkara yang cukup mudah dilakukan.
Barangan yang diperlukan
Sebelum memulakan pro-ses pembuatan pasu daripada simen ini, sediakan barangan seperti kepingan kayu berukuran ¾ inci x ¾ inci, simen, kotak bekas berukuran 5 ¾ inci x 5 ¾ inci, kepingan papan lapis berketebalan 3/8 inci, mesin pemotong kayu, bekas untuk mencampurkan simen, tumbuhan pilihan, tanah, minyak motor atau makan (baru atau terpakai), berus atau kain dan gam kayu.
Langkah pembuatan pasu
Untuk langkah pertama pembuatan, papan lapis yang telah disediakan akan dipotongkan dengan ukuran 4 inci x 4 inci untuk empat keping (bahagian sisi) dan sekeping berukuran 31/8 inci x 31/8 inci (bahagian bawah). Sudut cantuman 45 darjah akan dilakukan di sini yang memerlukan anda menetapkan kedudukan bila mesin pemotong kayu kepada 45 darjah. Bagi memastikan setiap kepingan mempunyai ukuran sama, tetapkan rip fence anda dengan ukuran 4 inci dari bilah mesin.
Setelah memotongkannya, cantumkan papan-papan lapis tersebut sama ada menggunakan skru atau paku. Kayu yang telah dicantumkan membentuk kotak ini adalah sebagai acuan untuk pasu bagi bahagian dalam. Acuan daripada papan lapis dipilih adalah bagi memastikan ia dapat menahan simen dengan sempurna selain ia cukup mudah untuk direka.
Sementara untuk acuan bahagian luarannya pula, kotak berukuran 5 ¾ inci x 5 ¾ inci akan digunakan. Kotak tersebut dipilih bagi memudahkan proses melepaskan simen daripada acuan memandangkan hanya satu pasu yang akan direka. Jika anda inginkan lebih daripada sebiji pasu untuk direka. Penggunaan kotak yang diperbuat daripada kertas tidaklah sesuai dalam hal ini.
Penulis lebih mencadangkan anda menggunakan papan lapis dengan ketebalan yang sama untuk merekanya. Jika papan lapis menjadi pilihan, ketika ia dicantumkan, gunakan skru untuk mencantumkannya bagi memudahkan anda membukanya dan menggunakannya semula nanti.
Selesai mereka acuan untuk pasu kecil tersebut, langkah seterusnya yang perlu dilakukan ialah mencampurkan simen dengan pasir dan air. Jumlah perbandingan di antara simen dan pasir di sini ialah 1:2 iaitu satu bahagian simen dan dua bahagian pasir.
Sementara untuk air, ini tertakluk kepada banyak campuran dan cara yang paling mudah ialah ketika dicampurkan, angkat sedikit campuran menggunakan kayu atau peralatan memplaster yang digunakan bagi melihat konsistensi campuran. Jika terlalu meleleh, ini menandakan terlalu banyak air digunakan. Selain itu campuran yang terlalu kering juga boleh menyebabkan simen yang mengering nanti mudah merekah.
Campuran yang telah siap disebatikan itu kemudiannya akan dituangkan ke dalam kotak yang terbuat daripada kertas tadi. Jika anda menggunakan acuan kayu untuk bahagian luarannya,pastikan bahagian permukaan bawah diletakkan dengan sekeping plastik agar simen yang mengering nanti tidak melekat pada permukaan kerja. Sebelum itu, permukaan dalam acuan (di mana simen akan bersentuhan) perlu disapukan menggunakan minyak motor atau makan yang baru atau telah digunakan. Ini memastikan simen yang mengering nanti tidak melekat pada permukaan kotak atau kayu.
Mula-mula tuangkan simen pada bahagian dalam kotak tanpa acuan bahagian dalam. Ini adalah untuk mereka bahagian bawah pasu. Ketebalan yang diperlukan ialah lebih kurang ¾ inci. Cara untuk mengukur ketebalan simen yang telah dituangkan ialah dengan membenamkan batang kayu hingga mencecah bahagian lantai, kemudian keluarkan semula kayu tersebut untuk diukur ketebalan simen melalui tikas simen pada permukaan kayu. Setelah itu barulah anda boleh meletakkan acuan untuk bahagian dalam kotak dan mengisikan ruangan kosong dengan simen.
Sementara menunggu simen mengering, gunakan masa terluang untuk mereka kaki pasu. Potongkan kayu-kayu yang disediakan dengan panjang 15.5sm untuk dua batang dan empat batang kayu 7 inci panjang. Lebar kayu untuk kesemua bahagian kaki ini adalah sama iaitu ¾ inci x ¾ inci.
Setelah memotongkannya, bahagian kedua-dua hujung kayu berukuran 15.5sm akan dibentuk dengan tenon berukuran 1sm. Manakala untuk bahagian tengahnya, cantuman berbentuk half-lap akan direka di mana kedua-dua kayu bertemu untuk dijadikan bahagian bawah (pemegang pasu) pada bahagian kaki pasu. Untuk merekanya, dapatkan kedudukan bahagian tengah kayu kemudian potong separuh menggunakan gergaji sesuai lebar kayu kemudian buangkan bahagian yang telah dipotong menggunakan pahat.
Bagi kayu berukuran 7 inci, tandakan setiap batang kayu dengan ukuran 3 inci. Pada ukuran ini, ia akan direka dengan mortise bagi membolehkan tenon kayu berukuran 15.5sm panjang dimasukkan sekali gus membentuk rangka keseluruhan kaki pasu. Setelah menebuknya, cantumkan kesemua bahagian menggunakan gam kayu, paku atau skru.
Simen yang telah mengering kini bolehlah ditanggalkan daripada acuannya. Penggunaan kotak kertas sebagai acuan pada bahagian luaran pasu merupakan acuan yang amat mudah untuk ditanggalkan dengan hanya mengoyakkannya. Sementara acuan kayu untuk bahagian dalaman pasu boleh dikeluarkan dengan cara mengetuknya merata secara perlahan-lahan.
Bagi anda yang inginkan permukaan pasu dengan warna yang diminati, ia boleh dilakukan dengan cara mengecatnya menggunakan cat sembur atau berus. Lakukan langkah ini pada bahagian permukaan luaran pasu sahaja. Jika anda mahu kesemua permukaan ditutupi dengan cat, pastikan sebelum meletakkan tumbuhan pasu tersebut direndam dalam air (ditukar setiap hari) untuk beberapa hari bagi memastikan kimia yang terdapat dalam cat tidak menjejaskan tumbuhan yang dimiliki.