Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Peserta-peserta daripada ZERONEIGHT Mixed Martial Arts Academy menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa beraksi di Ekspo Seni Mempertahankan Diri Borneo (BMAEX) 2024 yang berlangsung di Palm Beach Resort Labuan pada 6 hingga 7 Disember lalu.
Dalam ekspo berkenaan, sembilan peserta yang terdiri daripada 7 peserta junior dan 2 peserta senior daripada akademi berkenaan telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam kejohanan kickboxing apabila membawa pulang sembilan pingat iaitu lima emas dan empat perak.
Pemenang-pemenang pingat ialah Muhammad Arma Zulfaqar bin Haji Arsad, Mohamed Nor Zakwan bin Haji Mohamed Nor Hisham, Awangku Asy-Syafi Aydin bin Pengiran Shamsul Al Amin, Mohd Tashfeen Asy-Syakeer bin Nor Alimin dan Dayangku Raisya Nur Assyifa binti Pengiran Shamsul Al Amin.
Sementara pemenang pingat perak ialah Mohammad Wafiq Izdihar bin Abu Hanafiah, Muhammad Irsyad bin Kamaruzzaman Hayati, Nor Aafiya Tabrizz bin Nor Alimin dan Tiara Aisya binti Sahruni.
Selain kejohanan berkenaan, ekspo berkenaan juga mengetengahkan Seminar ISKA Referee yang dikendalikan oleh jurulatih dari ZERONEIGHT, Sarifuddin Rahim dan jurulatih dari Penang, Sifu Kenny di mana seminar itu memberikan pandangan serta teknik yang berguna dalam pengadilan, menggariskan pentingnya permainan adil dan profesionalisme dalam seni mempertahankan diri.
Kejohanan pada tahun ini juga menyaksikan penyertaan daripada dua buah gimnasium dari Negara Brunei Darussalam iaitu Khalifa MMA dan House of Fitness sekali gus memupuk semangat persaingan sihat dan setia kawan di kalangan komuniti seni mempertahankan diri negara.
Prestasi cemerlang pasukan ZERONEIGHT di BMAEX 2024 bukan sahaja mengetengahkan komitmen akademi kepada kecemerlangan tetapi juga mencerminkan keunggulan seni mempertahankan diri negara yang kian berkembang. Sehubungan itu, akademi berkenaan bertekad untuk terus memberikan inspirasi kepada atlet-atlet muda untuk terus berusaha meraih kejayaan di pentas tempatan dan antarabangsa.