Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, hari ini, telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena berakhirnya gabungan bantuan sepadu barisan hadapan pandemik COVID-19 bagi sembahyang Fardu Jumaat di masjid tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh bilal masjid, Awang Razman bin Haji Ramlee yang diikuti dengan ucapan alu-aluan timbalan pengerusi majlis, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut.
Kemudian, majlis diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada gabungan bantuan sepadu barisan hadapan pandemik COVID-19 bagi sembahyang Fardu Jumaat di masjid berkenaan termasuk Tentera Udara Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei menerusi Balai Polis Berakas dan Bahagian Lalu Lintas Jalan Raya, Sukarelawan Belia di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan AJK takmir masjid.
Acara ditutup dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh Awang Razman, diikuti dengan sesi bergambar ramai dan menikmati jamuan.
Majlis bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada pasukan barisan hadapan yang terlibat atas jasa bakti mereka dalam sama-sama membendung penularan COVID-19 terutama semasa sembahyang Fardu Jumaat di masjid tersebut.
