Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan Baywatch kawal keselamatan pengunjung pantai

    Oleh Rozainah Abdul Rahim

     

    PORT DICKSON – Ombak yang menggulung dengan angin kencang sedikit pun tidak dipedulikan sehinggalah siren amaran lantang berbunyi dan bendera merah dinaikkan. Beberapa orang yang sedang asyik bermandi-manda di laut berhampiran pantai Teluk Kemang di sini bergegas berenang menuju ke pantai. Mujur tidak ada kejadian buruk berlaku! Senario begini biasa berlaku di kebanyakan pantai di negara ini dan semestinya tiada siapa yang menginginkan berlaku tragedi  mati lemas di laut.

    Malaysia sememangnya mempunyai banyak pantai yang indah yang menjadi tumpuan pengunjung baik dari dalam dan luar negara. Cuma dalam keseronokan bermandi-manda ada yang lupa akan bahaya yang boleh menimpa diri mereka sekiranya mereka tidak peka kepada arahan keselamatan di pantai.

    ‘Baywatch’ Malaysia

    Di sinilah letaknya peranan 150 anggota pasukan penyelamat pantai ‘Baywatch’ yang dilatih Angkatan Pertahanan Awam dan ditempatkan di 41 pantai peranginan yang sering menjadi tumpuan pelancong. Nama ‘Baywatch’ ini mungkin diambil dari siri televisyen yang popular pada satu ketika dahulu dengan watak utamanya disandang David Hasselhoff dan Pamela Anderson.

    Pembantu Pertahanan Awam Daerah Port Dickson,  Leftenan Mohd Yaakob Md Asri berkata demi keselamatan pengunjung, anggota Baywatch bukan sahaja melakukan rondaan di sekitar pesisiran pantai tetapi juga memantau keadaan dari menara tinjau untuk memastikan langkah awal boleh diambil. “Langkah-langkah yang diambil termasuk mengeluarkan amaran beredar dari air atau pantai ketika berlaku ombak besar dan ketika cuaca buruk,” katanya ketika ditemui Bernama di Pantai Telok Kemang di sini.

    Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hafizuddin Imam Suwarni (kiri) dan Muhammad Adzry Shah Nor Adzam (kanan) yang ditugaskan sebagai Penyelamat Pantai ‘Baywatch’ menunjukkan cara- cara menyelamatkan mangsa lemas sewaktu melakukan aktiviti di Pantai Telok Kemang baru-baru ini. – Bernama
    Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Nor Azwan Abd Aziz mendengar radio komunikasi bagi mendapat maklumat mengenai keadaan pantai untuk menjaga keselamatan pengunjung yang melakukan aktiviti di Pantai Telok Kemang, baru-baru ini. – Bernama
    Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hafizuddin Imam Suwarni (kanan) dan Muhammad Adzry Shah Nor Adzam (kiri) yang ditugaskan sebagai Penyelamat Pantai ‘Baywatch’ menunjukkan cara- cara menyelamat mangsa lemas sewaktu melakukan aktiviti di Pantai Telok Kemang, baru-baru ini. – Bernama

    Pantai Teluk Kemang kini mempunyai dua menara tinjau Baywatch iaitu di Batu 8 dan sebuah lagi terletak kira-kira 900 meter dari menara berkenaan. Terdapat juga menara tinjau Baywatch di Batu 4, Port Dickson.

    Apa yang pengunjung pantai perlu tahu

    Menurut Mohd Yaakob, bendera  putih yang dinaikkan oleh pasukan Baywatch di menara tinjau bererti keadaan laut selamat untuk orang ramai melakukan aktiviti air, termasuk berenang dan sukan air sementara bendera merah pula menunjukkan keadaan berbahaya. “Kebanyakan pengunjung yang berdegil untuk meneruskan aktiviti di pantai ketika waktu bahaya ialah mereka yang datang dari jauh dan tidak mahu melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti pantai,” katanya.

    Empat anggota Baywatch terdiri daripada pegawai tetap dan sukarelawan ditugaskan di setiap menara untuk membuat rondaan di pantai secara berkala dan memerhatikan aktiviti pengunjung menggunakan teropong dari menara tinjau berkenaan.

    “Kami juga dibekalkan kenderaan seperti bot, jet ski dan kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (ATV) serta alatan menyelamat yang sedia digunakan pada bila-bila masa,” tambahnya.

    ??????Meskipun peringatan sering dibuat, kebanyakan pengunjung pantai masih tidak ambil kisah akan keselamatan diri. Dalam hal ini Mohd Yaakob memberi contoh pengunjung yang masih tidak mematuhi garisan pembahagi yang memisahkan kawasan renang dan sukan air.

    Menurut beliau, peraturan berkenaan diperkenalkan di pantai itu pada 2014 lepas bagi mengelakkan pengunjung yang bermandi manda dilanggar kenderaan air seperti jet ski dan bot pisang. Satu contoh kemalangan yang dilaporkan berlaku ialah pada September 2014 apabila seorang pemuda, Muhamad Hidayat Ramli, 23, meninggal dunia akibat kecederaan selepas dilanggar bot pisang ketika berenang di Teluk Kemang.

    Tinjauan Bernama mendapati puluhan pengunjung masih mandi di kawasan laluan bot tanpa memikirkan yang mereka boleh menjadi mangsa atau punca kemalangan.

    Kaji semula kebenaran

    Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM, Leftenan Kolonel Mohd Rosman Abdullah berkata masalah sikap pengunjung pantai itu bukan sahaja dihadapi pasukan Baywatch di daerah itu tetapi di pantai-pantai utama seluruh negara. Pihaknya berharap kerajaan mengkaji semula kebenaran kepada pasukan Baywatch bagi menjalankan penguatkuasaan menghalang pengunjung daripada berada di pesisir pantai ketika waktu berbahaya bagi menjamin keselamatan mereka.

    “Penguatkuasaan larangan pengunjung berada di pantai apabila keadaan tidak selamat perlu diwartakan bagi menjamin keselamatan pengunjung di tahap tertinggi. “Baywatch hanya mampu untuk memberi nasihat dan mengambil tindakan serta merta apabila berlaku keadaan yang boleh mengancam nyawa namun tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan sekiranya mereka melanggar amaran yang diberikan,” katanya ketika temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di ibu negara baru-baru ini.

    Berjaya kurangkan kes kemalangan

    ???????Bagaimanapun, Mohd Rosman berkata kewujudan pasukan Baywatch bagi mengawal keselamatan di kawasan pantai menunjukkan keberkesanan apabila jumlah kes kemalangan melibatkan pengunjung semakin berkurangan.

    “Sebanyak 514 kes membabitkan kejadian kemalangan sukan pantai, lemas, sengatan obor-obor, rawatan luka ringan dan lain-lain yang diterima pasukan ini pada 2017 di seluruh negara berbanding 715 kes pada 2016,” katanya.

    Di Port Dickson, jumlah kemalangan melibatkan kegiatan sukan air berkurangan kepada tujuh kes pada 2017 berbanding 10 pada tahun sebelumnya.Terdapat satu kes mati lemas pada 2017 berbanding empat pada 2016. Dilaporkan seramai 18 kanak-kanak hilang di laut sekitar Port Dickson pada 2017 berbanding 21 orang pada tahun sebelumnya.

    Pasukan penyelamat pantai beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 malam kecuali di Pantai Bagan Lalang, Selangor dan Pantai Cenang di Langkawi yang melibatkan operasi pemantauan 24 jam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda