Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan Bola Jaring ke Melbourne buat persiapan Sukan SEA

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Pasukan Kebangsaan Bola Jaring Brunei berlepas ke Melbourne bagi menghadiri program pendedahan antarabangsa selama seminggu sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2025.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyampaikan ucapan doa dan harapan kejayaan pasukan kelmarin, ialah Yang Di-Pertua Persatuan Bola Jaring Brunei, Leftenan Kolonel (Bersara) Hajah Wan Shalimar binti Haji Suhaili, bersama ahli-ahli jawatankuasa persatuan.

    Program pendedahan berkenaan merupakan salah satu usaha penting dalam memantapkan persiapan pasukan kebangsaan menjelang Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung di Bangkok Disember nanti.

    Penyertaan dalam perlawanan persahabatan dan sesi latihan intensif bersama pasukan dari Australia memberi ruang kepada para pemain untuk meningkatkan keupayaan fizikal, memperkukuh kefahaman taktikal dan menyesuaikan diri dengan corak permainan yang lebih pantas serta berintensiti tinggi.

    Keadaan itu dapat membantu pemain membuat keputusan yang lebih tepat, memperbaiki struktur pertahanan dan mengukuhkan serangan ketika berdepan tekanan permainan.

    Sepanjang berada di Melbourne, pasukan akan mengikuti jadual latihan yang teratur diikuti beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang Pasukan Wakil Altona dan beberapa pasukan lain di La Trobe Sports Stadium.

    Setiap perlawanan bukan sahaja bertujuan menguji keupayaan pemain tetapi juga memberi peluang kepada barisan kejurulatihan meneliti aspek taktikal, ketahanan fizikal dan keserasian pasukan.

    Pemerhatian terperinci ini akan membantu menentukan penambahbaikan yang perlu dilakukan sebelum menghadapi kejohanan serantau.

    Program itu turut memberi manfaat daripada segi pembangunan kekuatan mental. Penyesuaian terhadap persekitaran baharu, jadual yang padat dan suasana pertandingan antarabangsa dijangka dapat meningkatkan disiplin serta ketahanan minda pemain.

    Keseimbangan antara latihan, perlawanan dan pemulihan fizikal disusun dengan teliti bagi memastikan para pemain kekal berada dalam keadaan optimum sepanjang program.

    Persatuan Bola Jaring Brunei menaruh keyakinan bahawa pengalaman dan pendedahan yang diperoleh di Melbourne akan memberi impak positif kepada prestasi skuad negara. Dengan Sukan SEA semakin hampir, program itu diharap dapat mempertingkat keyakinan, mutu permainan dan tahap kesiapsiagaan pemain bagi menghadapi cabaran sengit di Bangkok nanti.

     

    Leftenan Kolonel (Bersara) Hajah Wan Shalimar bergambar ramai dengan Pasukan Kebangsaan Bola Jaring Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
    Gambar serahan Persatuan Bola Jaring Brunei

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda