Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dengan baki kira-kira dua minggu sebelum bermulanya acara Sukan Sekolah ASEAN ke-14 (ASG14) yang akan diadakan di Brunei Darussalam dari 20 hingga 28 November, pasukan bola keranjang bawah 18 tahun (B18) kini sedang berusaha keras untuk memperhalusi lagi permainan mereka.
Dalam pada itu, pihak media berkesempatan melawat pasukan bola keranjang B18 semalam, semasa perlawanan persahabatan mereka menentang pasukan Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Kompleks Sukan UBD.
Jurulatih Bola Keranjang Kebangsaan, Ben Sim, dalam satu temu bual selepas perlawanan berkongsi tentang persediaan pasukan, “Kami memanfaatkan sepenuhnya apa yang kami ada, terutamanya apabila melibatkan pemain kami.
“Dengan jadual mereka yang sibuk iaitu mengimbangi sekolah, tuisyen, dan peperiksaan, selalunya sukar untuk mengumpulkan semua ahli pasukan pada masa yang sama. Kami menggunakan semua tempat yang tersedia, seperti kemudahan Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) dan UBD. Kami juga mengadakan sesi dalam talian, di mana saya menyemak rakaman permainan dan memberikan maklum balas untuk membantu pemain meningkatkan dan mengembangkan daya intelek permainan mereka.”
Beliau menambah, “Saya tahu para pemain lelaki ini mempunyai bakat, tetapi mereka perlu mengukuhkan pemahaman mereka tentang permainan dengan mengetahui bila hendak membuat hantaran, di mana hendak meletakkan kedudukan diri mereka, bila hendak melompat dan bagaimana untuk bergerak di gelanggang. Kami melakukan yang terbaik mengikut kemampuan kami, ia tidak sempurna, tetapi ia adalah yang terbaik yang boleh kami lakukan.”


Berkenaan latihan, beliau menekankan, “Paling banyak, kami menjalani latihan dua kali seminggu. Latihan kami bermula sekitar lima bulan yang lalu.
“Jika kami ingin menambah baik lagi, kami memerlukan lebih banyak latihan akan tetapi terhalang disebabkan oleh jadual yang sibuk. Sokongan daripada BBA, kementerian dan ibu bapa adalah sangat memberangsangkan namun demikian masa semakin suntuk.”
Beliau juga berkongsi tentang para pemain, “kami mempunyai dua pemain yang kembali dari tahun lepas yang telah menjadi jauh lebih baik dengan lebih banyak pengalaman.
Pemain lain dipilih dari sekolah yang berbeza di mana kami menjalani ujian awal tahun ini.
Para pemain dipilih berdasarkan komunikasi, kehadiran dan betapa kerasnya mereka sanggup bekerja. Daripada 60 pemain, kami mengurangkan pemain kepada 15 pemain yang disahkan untuk pasukan.”
Beliau juga menekankan ““Saya memberitahu para pemain bahawa kami akan berdepan persaingan yang sangat sengit dan saya cuba berkongsi sebanyak mungkin pengetahuan dan pengalaman dengan mereka. Ia bukan sekadar tentang menang akan tetap ia juga tentang permainan, kerjasama dengan rakan sepasukan dan menjalin persahabatan dengan pemain dari negara lain. Saya mengingatkan mereka untuk menikmati acara ini.
Sama ada kami menang atau kalah, inilah saat-saat yang akan kami ingat selama-lamanya.
Beliau turut menyatakan, “Saya berharap para pemain akan memberikan yang terbaik dan mempraktikkan apa yang telah saya ajarkan kepada mereka. Saya tahu mereka mempunyai bakat dan kami mempunyai barisan pemain yang mantap tahun ini yang mungkin akan mengejutkan beberapa pasukan. Kami perlu mendapatkan rasa hormat daripada pihak lawan melalui usaha dan keazaman kami.”

