Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Pasukan Bola Keranjang Veteran Kebangsaan Brunei merangkul trofi juara Kejohanan Bola Keranjang Jemputan Veteran Bandar Borneo ke-23 kelmarin dengan rekod tanpa kalah.Kali terakhir pasukan itu merangkul kejuaraan adalah pada 2008.
Hadir pada acara yang berlangsung di Hotel Mulia dan sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan pada tahun ini ialah Presiden Persatuan Bola Keranjang Brunei, Jake Goh.
Sementara naib johan disandang oleh Kota Kinabalu manakala pasukan Miri mendapat tempat ketiga dan Labuan di tempat keempat.
Sementara itu, pasukan Brunei turut memperoleh tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Keranjang Jemputan Lelaki Piala Bandar Borneo ke-24 selepas menewaskan pasukan Labuan 65-60 dalam perlawanan akhir.
Pasukan Kota Kinabalu merampas tempat pertama dengan rekod tanpa kalah manakala tempat kedua disandang oleh pasukan Miri. Pasukan Labuan yang tewas semua perlawanan berada di tempat keempat.
Bagi Kejohanan Bola Keranjang Jemputan Wanita Piala Bandar Borneo ke-19, pasukan Brunei diletakkan di tempat keempat selepas tewas kesemua tiga perlawanan mereka.
Tempat pertama disandang oleh pasukan Kota Kinabalu manakala pasukan Labuan mendapat tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Miri.
Buat julung kalinya, kejohanan tahun ini turut merangkumi Kejohanan Jemputan Bandar Borneo 3×3 pertama yang dibahagikan kepada empat kategori.
Dalam acara 3×3 Bawah 18 Tahun Wanita, pasukan Kota Kinabalu mendahului dengan meraih tempat pertama manakala tempat kedua dimenangi oleh pasukan Miri dan tempat ketiga disandang oleh Labuan. Pasukan Brunei diletakkan di tempat keempat.
Manakala pasukan Miri memenangi kategori 3×3 Bawah 18 Tahun Lelaki, manakala pasukan Kota Kinabalu berjaya mendapat tempat kedua. Tempat ketiga pula disandang oleh Pasukan Brunei dan tempat keempat ialah Labuan.
Bagi Kategori 3×3 Terbuka Wanita, Kota Kinabalu mendapat tempat pertama dan pasukan Miri mendapat tempat kedua. Pasukan Brunei berjaya merampas tempat ketiga dan Labuan berada di tempat keempat.
Kategori 3×3 Terbuka Lelaki, pasukan Kota Kinabalu menduduki tempat pertama manakala pasukan Brunei berjaya menduduki tempat kedua. Tempat ketiga disandang oleh pasukan Miri dan Pasukan Labuan mendapat tempat keempat.
Kejohanan Bola Keranjang Jemputan Bandar Borneo seterusnya akan diadakan di Kota Kinabalu mulai 28 Mei hingga 2 Jun 2026.