Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Sokongan berterusan kepada anak-anak muda sentiasa diberikan termasuklah dalam pembangunan dan penglibatan mereka dalam bidang sukan.
Dalam hal ini, Persatuan Bolasepak PES dan salah sebuah restoran tempatan, De’Pirates Sails Seafood telah mengadakan majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) bagi menaja baju jersi persatuan berkenaan baru-baru ini.
Tajaan persatuan berkenaan bertujuan untuk memberi sokongan dan pembangunan kemahiran pemain bola sepak tempatan dan menggalakkan mereka untuk meningkatkan kemahiran mereka di padang dan menyumbang kepada pencapaian sukan negara.
Dengan adanya kerjasama bersama Persatuan Bolasepak PES ini, ia diharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan tanggungjawab korporat sosial (CSR) sementara menyokong bakat tempatan.
Menurut Dr Hazny As selaku penaja, pihak berkenaan berharap agar pasukan ini dapat memupuk semangat persahabatan dan perjuangan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang di samping berdisiplin dalam latihan serta menjaga mentaliti yang kuat.
Penaja juga melaksanakan CSR dengan harapan agar pasukan dapat membawa nama De’pirates ke persada awam dan meraih kejayaan yang membanggakan.
De’pirates Sails Seafood bertekad untuk memberikan sokongan terbaik dan berharap hasil daripada kerjasama ini akan memberi manfaat dan keuntungan kepada kedua-dua pihak.
Terdahulu, majlis berkenaan dimulakan dengan penandatanganan MoU dan diikuti dengan penyerahan baju jersi yang disempurnakan oleh wakil daripada De’Pirates Sails Seafood, Dyland anak Halberd. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.