Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Seramai 10 orang pemain boling dari pasukan Bandar Seri Begawan telah berlepas ke Jakarta bagi menyertai 37th Asian Intercity Bowling Championship yang berlangsung di Jaya Ancol Bowling Centre, Jakarta pada 9 November hingga 16 November.
Hadir di ruangan berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam, kelmarin, bagi menyempurnakan pelepasan rombongan, Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Awang Amirul Shukri bin Haji Hafneh selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas, nasihat dan kata-kata semangat daripada tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan doa selamat, seterusnya sesi bergambar ramai dan seterusnya acara pelepasan rasmi pasukan ke kejohanan tersebut.
Kejohanan Asian Intercity Bowling Championship yang diiktiraf oleh Asian Bowling Federation itu diadakan setiap tahun dengan bandar tuan rumah dipilih di antara bandar-bandar utama di Asia semasa Mesyuarat Pengurus.
Antara bandar yang sering mengambil bahagian, Jeju, Daegu, Tokyo, Taiwan, Hong Kong, Guam, Pasig City, Pasay City, Kuala Lumpur, Selangor, Kuching dan Singapura, penyertaan Pasukan Bandar Seri Begawan dalam kejohanan ini sejak tahun 2016.


