Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Persekutuan Sukan Boules Brunei Darussalam Brunei telah dijemput untuk menyertai Kejohanan Petanque Asia ke-5 yang akan berlangsung pada 16 hingga 21 Ogos 2023 di Kuala Lumpur, Malaysia.
Kejohanan tersebut akan melibatkan beberapa kategori utama iaitu Men Triple, Women Triple, Men Shooting dan Women Shooting.
Pasukan Petanque Brunei akan dipimpin oleh Presiden Persekutuan Sukan Boules Negara Brunei Darussalam, Haji Mohamad bin Penglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah selaku ketua rombongan. Pasukan ini juga akan dikendalikan oleh Junaidi bin Haji Mohammad Said, selaku pengurus pasukan dan Hamidun bin Haji Abd Hamid selaku jurulatih.
Para atlet yang telah terpilih untuk mewakili negara di pentas antarabangsa ini ialah Wirna bin Haji Md Yassin, Mohd Abdillah bin Tamin, Azmi Eddy bin Mohd Harris dan Abd Manaff Didi Jr bin Ahdi, manakala kontinjen wanita diwakili oleh Mulsinah binti Haji Amran, Norhani binti Haji Juna, Khairul Bariyah binti Khairul Anuar dan Nuramalina binti Awang Mazlan yang akan memberikan komitmen dan usaha terbaik mereka bagi memastikan kecemerlangan pasukan dalam kejohanan ini.
Sementara itu, Mohd Abdillah bin Tamin dan Norhani binti Haji Juna masing-masing juga akan menyertai acara Men Shooting dan Women Shooting dalam kejohanan itu nanti.
Pada Kejohanan Petanque Asia ke-4 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada tahun lalu, Pasukan Petanque Brunei berjaya memperoleh pingat gangsa melalui Awang Masli bin Haji Mohd Said dalam acara Men Shooting.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P23-3-Pasukan_07082023.jpg)