Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Pasukan negara yang telah menyertai Kejohanan Dart Malaysia Master di Maju Junction Mall, Kuala Lumpur selama dua hari, iaitu pada 8 hingga 9 Julai yang lalu telah selamat pulang ke tanah air baru-baru ini.
Dalam kejohanan tersebut, pasukan D’Amazing KBT PDD yang diwakili oleh Pengiran Mohammad bin Pengiran Haji Matarsad dengan pasangannya, Mohd Fidee Nirham bin Haji Hamjani telah menduduki tempat ketiga setelah kalah tipis oleh pasukan tuan rumah, DURY 5 yang diwakili oleh Thomat dengan pasangannya, Norhisame selaku juara keseluruhan.
Sementara itu, pasukan D’Amazing KBT Lumberjeck dan D’Amazing Brunei AB masing masing menduduki Top 32 Winner Side dan Top 8 Silver Plated yang diwakili oleh Nasruddin bin Johan, Muhd Rosli bin Abdullah Asat, Pengiran Mohd Zulkernain bin Pengiran Waliuddin dan Abu Hasrah bin Haji Abdul Rani.
Kejohanan tersebut telah disertai oleh 53 pasukan dari beberapa negara Asia, antaranya Malaysia, Thailand dan India.
Menurut kenyataan D’Amazing, Haji Hamjani selaku ketua pasukan turut mengongsikan kegembiraannya dan meluahkan rasa berpuas hati atas prestasi dan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua peserta.


