Pasukan elit khas Australia tangani ancaman keganasan

CANBERRA, 17 Julai – Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull berkata Angkatan Pertahanan Australia (ADF) akan diberikan peranan lebih besar dalam menangani ancaman keganasan di negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Turnbull, dalam kenyataan bersama Menteri Pertahanannya Marise Payne berkata pasukan elit khas itu akan diberi lebih banyak kuasa bagi menghapuskan ancaman keganasan, namun pasukan polis akan kekal sebagai peneraju utama dalam setiap tindak balas keseluruhan kes-kes melibatkan keganasan.

“Polis negeri dan wilayah merupakan pasukan paling utama yang boleh mengambil tindak balas segera sekiranya berlaku serangan pengganas, bagaimanapun, pasukan pertahanan juga boleh menyumbang secara efektif dalam menangani ancaman ini, sebagai tambahan kepada usaha menghapuskan ancaman keganasan di luar pesisir serta aktiviti pembinaan keupayaan serantau,” katanya. Langkah terbaharu itu diambil beberapa bulan selepas Turnbull mengarahkan supaya tindak balas pasukan keselamatan negara itu dalam menghadapi ancaman keganasan dikaji semula.

Ia susulan siasatan mendapati polis tidak dibekalkan kelengkapan mencukupi, serta tindakan yang diambil pihak polis terlalu lambat ketika kejadian serangan pengganas di kafe Lindt, Sydney pada 2014.

Sementara itu, Menteri Keadilan Australia Michael Keenan ketika mengulas perkara itu berkata perkembangan baharu itu tidak bermaksud peranan pihak polis ‘diketepikan’ sekiranya berlaku ancaman keganasan, dan menegaskan polis akan bekerja bersama-sama dengan pasukan khas bagi menangi insiden seumpama itu pada masa hadapan. – Bernama

Pejalan kaki melintasi halangan keselamatan konkrit berhampiran Kafe Lindt, 17 Julai, yang menjadi tapak serbuan di Sydney yang mana dua orang tebusan dan lelaki bersenjata terbunuh. Perdana Menteri Australia mengatakan pindaan respons kecemasan angkatan keselamatan akan memberikan kuasa lebih meluas untuk bertindak semasa serangan pengganas. – AFP
Pejalan kaki melintasi halangan keselamatan konkrit berhampiran Kafe Lindt, 17 Julai, yang menjadi tapak serbuan di Sydney yang mana dua orang tebusan dan lelaki bersenjata terbunuh. Perdana Menteri Australia mengatakan pindaan respons kecemasan angkatan keselamatan akan memberikan kuasa lebih meluas untuk bertindak semasa serangan pengganas. – AFP