Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Pasukan Engineering A muncul sebagai juara dalam Peringkat Akhir Kejohanan Badminton Radio Televiyen Brunei (RTB) 2024 yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RTB, di sini, hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan peserta kejohanan ialah Awang Md Zulkarnain bin Haji Brahim @ Ahmad.
Di peringkat akhir kejohanan berkenaan, sebanyak 4 pasukan telah berjaya melayakkan diri untuk bersaing merebut gelaran juara iaitu D3P, Engineering A, Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa dan Bahagian Rancangan TV A.
Pasukan Engineering A muncul juara dengan membawa pulang hadiah berupa piala rebutan, piala iringan, pingat dan sijil, sementara naib juara, Pasukan Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa membawa pulang hadiah berupa piala iringan, pingat dan sijil serta tempat ketiga ialah Pasukan Rancangan TV A yang membawa pulang hadiah berupa piala iringan, pingat dan sijil.
Kejohanan yang berlangsung sejak 1 November berkenaan telah disertai sebanyak lapan pasukan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan daripada semua bahagian di RTB.
Antara kategori-kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan ialah Beregu Lelaki Terbuka A, Beregu Lelaki Terbuka B, Beregu Veteran (45 Tahun Ke Atas), Beregu Wanita Terbuka dan Beregu Campuran.
Kejohanan berkenaan dianjurkan dengan tujuan untuk menggalakkan para pegawai dan kakitangan RTB untuk bergiat cergas dan aktif dalam aktiviti sukan di samping meningkatkan persefahaman dan kerjasama secara berpasukan dan juga mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga RTB.