Wednesday, February 5, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan ‘England’ juara Kejohanan Futsal Piala Presiden BERSATU

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Pasukan ‘England’ muncul juara Kejohanan Futsal Piala Presiden BERSATU kali ke-3 selepas menewaskan Pasukan ‘Argentina’ 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kebangsaan Hassanal Bolkiah, Berakas, baru-baru ini.

    Gol kemenangan pasukan ‘England’ dijaringkan oleh Abu Suffian, yang meledakkan bola tepat ke gawang lawan. Prestasi cemerlangnya dalam perlawanan akhir turut melayakkan beliau menerima anugerah Bola Emas.

    Pasukan ‘Argentina’ terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala Pasukan ‘Jerman’ meraih tempat ketiga selepas menewaskan Pasukan ‘Sepanyol’ dengan keputusan 2-1.
    Kejohanan bertemakan Champion of Champions itu disertai lapan pasukan dengan keseluruhan 80 pemain.

    Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan piala dan hadiah kepada para pemenang.

    Beliau juga menyampaikan beberapa anugerah khas, termasuk Bola Emas, Sarung Tangan Emas, But Emas, Pemain OKP Terbaik, Pemain Veteran Terbaik, serta Pemain Terbaik Bawah 13 dan Bawah 16 Tahun.

    Kejohanan yang diperkenalkan sejak 2021 itu bertujuan memupuk persahabatan melalui sukan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan alumni, keluarga dan misi diplomatik Jepun serta ASEAN di Brunei Darussalam.

    Ia juga berperanan mempromosikan keterangkuman dan konsep sukan untuk semua, khususnya bagi komuniti yang mengalami masalah pendengaran serta golongan belia.

    Turut hadir, Presiden BERSATU, Hajah Rosmawatiniah binti PA Haji Ibrahim, wakil dari Jabatan Belia dan Sukan, Kedutaan Jepun, Kemboja dan Malaysia, Sekolah Sukan Brunei Darussalam, Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Persatuan Kebangsaan untuk Orang Pekak, Akademi Futsal Al-Mujaahidun, serta bekas peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP).

    TYT Kikuta Yutaka dan Hajah Rosmawatiniah bergambar ramai bersama pasukan-pasukan yang bertanding. – GAMBAR SERAHAN BERSATU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda