Pasukan Formula Satu ambil langkah berhati-hati

MONTEMELO, 27 FEB – Pasukan-pasukan Formula Satu cuba untuk kekal fokus pada sesi kedua percubaan di Barcelona pada Rabu, sementara pelumba-pelumba kelihatan risau dengan penularan koronavirus dengan mesej: “Kami risau, tetapi tidak perlu panik.”

Pemandu veteran, Robert Kubica yang memandu kereta Alfa Romeo, telah mencatat keputusan terbaik di Montemelo, meskipun kebimbangan yang meningkat terhadap penularan virus tersebut yang telah membunuh 2,700 orang dan seramai 80,000 orang telah dijangkiti di 34 buah negara.

Ferrari yang mempunyai pangkalan utama di Maranello di Selatan Itali, salah sebuah tempat yang terjejas akibat COVID-19, menegaskan bahawa pasukan Ferrari mengambil langkah berjaga-jaga.

“Semestinya kami risau,” ketua prinsipal Ferrari, Mattia Binotto berkata.

“Sesetengah dari ahli pasukan kami menunda penerbangan demi memastikan segala kebimbangan diberikan perhatian dengan betul.

“Tetapi kita tidak perlu panik. Kita hanya perlu memastikan kita melakukannya dengan betul. Kami telah mengatur dengan Formula Satu dan Persatuan Automobil Antarabangsa (FIA) bahawa pasukan kami sangat berhati-hati dan sedar mengenai perkara ini.”

Ferrari mengumumkan Isnin lalu bahawa mereka telah menutup sementara muzium mereka di Maranello dan Modena, menghadkan kemasukan pekerja atau sesiapa yang melawat kawasan yang terlibat, menggantung lawatan dari luar serta kunjungan perniagaan yang tidak penting.

Pasukan Alpha Tauri, yang turut berpangkalan di Faenza, Itali, di bahagian selatan kawasan yang terjejas, memberitahu bahawa pembersihan kilang mereka telah ditingkatkan sementara pekerja dan subkontraktor akan diperiksa.

FIA memberitahu bahawa mereka akan terus ‘memantau perkembangan semasa.’ – AFP

Aksi pemandu Alfa Romeo, Robert Kubica mencatat waktu terbaik di Montemelo dan pasukan-pasukan Formula Satu yang lain mengambil langkah berhati-hati disebabkan oleh wabak koronavirus. – AP