Oleh Sim Y. H. –
KUALA BELAIT, 16 NOV – Pasukan Game On dari Unit Perubatan & Kecemasan muncul juara dalam Kejohanan Boling Sempena Sambutan Penubuhan Ulang Tahun Hospital Suri Seri Begawan (SSB) ke-53, yang berlangsung di Pusat Boling GoStrike, Seria, baru-baru ini.
Kejohanan berkenaan menyaksikan penyertaan sebanyak 16 buah pasukan yang terdiri daripada pelbagai bahagian dan unit hospital.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyertai kejohanan sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Mohamad Alikhan Haji Mohd Yakop; dan Penguasa Perubatan Hospital SSB, Dr Chong Chean Leung.
Dalam kejohanan berkenaan, Pasukan The Sterile dari Unit Bilik Bedah muncul sebagai naib johan, MIB dari Pengurusan Estet menduduki tempat ketiga dan Estet Bowlers dari Pengurusan Estet mendapat tempat keempat.
Penganjuran itu merupakan antara inisiatif Hospital SSB bagi memupuk kesejahteraan fizikal dan mental di samping meningkatkan kerjasama, kesatuan dan semangat kekitaan dalam kalangan warga kerja.
Dengan mengetengahkan tema, Wellness in Motion, Unity in Action, acara mencerminkan komitmen hospital dalam menerapkan budaya hidup sihat di samping memperkukuh perpaduan melalui aktiviti yang melibatkan seluruh warga hospital.



