Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan GG-Indera SC menang tipis

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Pasukan GG-Indera SC berjaya mengesahkan kemenangan ke atas pasukan Qahar FT 4-3 pada perlawanan menarik di kejohanan Liga Futsal Brunei (BFL) 2023.

    Pasukan Qahar yang tewas pada perlawanan lalu, dilihat menampilkan aksi yang cukup menarik dengan serangan-serangan yang meyakinkan sehingga berjaya membolosi gawang lawan di minit ke-8 menerusi sentuhan Awang Mohammad Saiful Mahri bin Sambri untuk mendahului kedudukan 0-1.

    Tetapi pasukan GG-Indera SC menyamakan kedudukan di minit ke-11 menerusi Noor Raimi Karim dan mendahului kedudukan 2-1 pada minit ke-17 menerusi Mohammad Nurmansyah.

    Perlawanan semakin mencemaskan di babak kedua apabila Mohammad Asyraaf Rhymie berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-22 perlawanan, namun Mohammad Nurmasyah sekali lagi berjaya menghukum kelalaian pertahanan pasukan Qahar selang enam minit kemudian.

    Sementara itu, Noor Raimi turut berjaya menjaringkan gol pada minit ke-37 untuk menjarakkan kedudukan kepada 4-2.

    Antara aksi pemain GG-Indera SC dan Qahar FT semasa kejohanan berkenaan. – Gambar serahan BFL

    Walaupun ketinggalan jaringan, pemain-pemain Qahar FT jelas tidak mudah mengalah malah dengan melakukan asakan sehingga membuahkan hasil menerusi jaringan Mohammad Noraliff bin Mohammad Firdaus seminit sebelum tamat perlawanan dan keputusan 4-3 itu berakhir sehingga ke wisel penamat.

    “Pemain-pemain menunjukkan keyakinan diri pada persaingan BFL 20-23 yang sungguh mencabar ini.

    Kekalahan kali ini membuat kami lebih bertekad besar untuk menjadi pesaing dalam BFL dan kami yakin akan mampu bangkit pada perlawanan seterusnya,” jelas ketua jurulatih pasukan Qahar FT, Muhammad Azmi Syahrunie bin Karim.

    Pengurus pasukan GG-Indera SC, Mohammad Muizuddin Hamid pula menjelaskan bahawa pemain-pemainnya berusaha gigih untuk memenangi perlawanan dengan mempamerkan kesungguhan dan tekad yang tinggi.

    “Persiapan ketua jurulatih yang banyak menyuntik semangat, mental dan disiplin permainan menjadi faktor kemenangan perlawanan ini,” jelasnya sambil memuji kebangkitan pasukan Qahar FT yang mampu memberi saingan sengit kepada pasukan GG-Indera SC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda