Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 JULAI – Perlawanan dalam Kejohanan Bola Sepak Daerah Belait 2019 diteruskan lagi dalam perlawanan peringkat B antara Hawa FT menentang Mangellela FC di Padang Arena Bola Sepak Seria, baru-baru ini.
Pada separuh masa pertama perlawanan, Mangellela FC berjaya membolosi gawang pasukan lawan dengan jaringan penalti pada minit ke-28 daripada Mohd Faidzulillah Duldani, sekali gus membantu mereka memperoleh momentum dalam perlawanan ketika mereka mengakhiri babak pertama dengan jaringan 1-0.
Walau bagaimanapun, Hawa FT terus bangkit dengan membuat serangan demi serangan sehingga berjaya menjaringkan gol untuk menyamai kedudukan daripada pemain Abdul Aziz Mohd Yasin dalam tendangan penalti pada minit ke-56.
Hawa FT terus bersemangat untuk menghasilkan jaringan dengan membuat asakan demi asakan terhadap pasukan lawan dan akhirnya Abdul Aziz Mohd Yasin tampil sekali lagi menjaringkan gol ke-2 bagi pasukan itu pada minit ke-56.
Tidak berhenti begitu sahaja, Hawa FT terus mengekalkan keselesaan dengan menjaringkan satu lagi gol dari Abee Shahrum Gudang, sekali gus menghasilkan gol ketiga buat pasukan itu.
Walaupun Pasukan Mangellela FC nampaknya cuba untuk bangkit mengejar kedudukan itu, namun Pasukan Hawa FT nampaknya sukar ditewaskan dan sekali lagi berjaya menjaringkan gol ke-4 sehingga akhir perlawanan.
Perlawanan seterusnya akan menyaksikan Maulana FT menentang Hoist FT di peringkat Kumpulan A pada 3 Ogos, manakala KB FT dan Hawa FT pula akan bersaing dalam peringkat Kumpulan B pada 4 Ogos nanti.
