Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – kunci kepada suatu kemenangan adalah keteguhan jiwa dan ketenangan meskipun diberikan tekanan hebat daripada pihak lawan selain tidak pernah menyerah kalah dan sentiasa fokus dalam perlawanan.
Perkara itu antara yang disebutkan oleh Pengurus Pasukan I-Team, Haji Abdul Rahman bin Haji Ali yang bakal berdepan dengan Pasukan KB Warriors FT dalam perlawanan separuh akhir Piala Presiden 1 pada hujung minggu ini.
Beliau menambah bahawa dengan kemenangan sahaja pasukan mereka akan berpeluang untuk mara ke peringkat akhir dan menjadi pencabar bagi menjulang piala rebutan tersebut.
“Saya harap slogan ‘kalah perkara biasa, menang luar biasa’ akan dapat memperkuatkan lagi semangat berpasukan dan keserasian kami dan ia merupakan suatu yang sangat penting dalam perlawanan selain sentiasa bijak mengatur strategi permainan,” kata beliau.
“Kita perlu menjadikan perlawanan ini sebagai batu loncatan menimba pengalaman dan memberikan saingan yang hebat kerana pasukan lawan merupakan pasukan yang mantap apatah lagi mereka mempunyai pemain-pemainnya yang berpengalaman,” tambahnya.
Apabila ditanya mengenai persediaan para pemain Pasukan I-Team, Haji Abdul Rahman menegaskan, “Setakat ini keadaan pemain stabil dan baik, serta semua pemain sudah tahu bahawa perlawanan yang akan datang ini sangat penting.”
Beliau juga menambah pada masa yang cukup singkat ini tidak ada sebarang latihan khas yang boleh dilakukan, namun pihak pengurusan dan kejurulatihan pasukan tersebut sering menekankan kepada para pemain untuk membuat latihan secara persendirian dan memperbaiki kelemahan-kelemahan individu.
“Para pemain perlu juga menyiapkan ketahanan mental dengan bersikap positif juga menanamkan perasaan cergas, yakin kepada diri sendiri serta mengamalkan gaya hidup sihat dari aspek pemakanan dan cukup rehat bagi menjana sikap peka dan menjayakan teknik permainan,” kata beliau.
Sebagai Pengurus pasukan, Haji Abdul Rahman sememangnya tidak menafikan bahawa pasukannya mahu menang dalam setiap perlawanan hingga ke perlawanan akhir.
“Tiada yang lebih berharga dan dibanggakan jika pasukan kami meraih kemenangan selain dapat mengharumkan nama baik pasukan dan menjadi kebanggaan kepada pemain-pemain dan AJK pasukan termasuk pada diri saya sendiri,” kata beliau yang turut menambah bahawa semua pemain beliau harus fokus dan ingat bahawa kejayaan bukan hanya sebagai satu kenangan, malahan dapat membuktikan kemampuan pasukan mereka.