PARIS, 22 SEPT – Pihak berkuasa kehakiman Perancis telah memulakan siasatan awal berhubung pengambilan dadah semasa Jelajah Perancis yang menyasarkan pasukan Arkea-Samsic, pasukan Perancis mengesahkan semalam.
Berikutan laporan dalam akhbar Perancis mengatakan dua individu yang rapat dengan skuad pimpinan pelumba Colombia Nairo Quintana – bekas juara Giro d’Italia dan Vuelta Sepanyol – sedang ditahan untuk disoal siasat, badan lumba basikal UCI berkata ia telah berhubung dengan unit kesihatan awam khas (OCLAESP) sebagai sebahagian daripada operasi yang dilancarkan oleh pihak berkuasa Perancis.
Sehari selepas berakhirnya Jelajah tiga minggu di Paris, Arkea-Samsic berkata dalam satu kenyataan bahawa pasukan itu sendiri, pengurus dan kakitangan belum dituduh bersalah selepas akhbar sukan L’Equipe berkata pegawai polis dari OCLAESP memimpin usaha menggeledah di Meribel, di rantau Savoie, di hotel pasukan.
Skuad itu mengesahkan serbuan berlaku pada minggu lalu dan pengurus Arkea-Samsic Emmanuel Hubert berkata ia ‘hanya membabitkan jumlah pelumba yang terhad, serta rombongan mereka, tidak digaji oleh pasukan.” Akhbar Perancis semalam memetik pendakwa Marseille, Dominique Laurens, menyiarkan ‘penemuan pelbagai produk kesihatan termasuk ubat dalam barang kepunyaan peribadi dan satu kaedah yang mungkin ditakrifkan sebagai dadah.”
Pendakwa Dominique Laurens bercakap kepada agensi berita Perancis, Agence France-Presse. Pejabat pendakwa enggan memberikan maklumat dalam satu panggilan telefon.
“Kami jelasnya menyokong pelumba kami, tetapi sekiranya terbukti selepas siasatan tentang beberapa elemen yang mengesahkan kesahihan amalan pengambilan dadah, pasukan akan mengasingkan dirinya daripada perbuatan sedemikian dan akan mengambil tindakan wajar untuk memutuskan hubungan dengan kaedah yang tidak dapat diterima,” kata Hubert.
Pelumba Slovenia Tadej Pogacar, yang berlumba untuk Kumpulan UAE Emirates, memenangi Jelajah pada Ahad. Pelumba terbaik dari Arkea-Samsic adalah pelumba Perancis Warren Barguil di tempat ke-14. – AP
